Politik

Mahathir salah – Kit Siang

PENDAPAT Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah salah dalam kenyataannya bahawa DAP tidak akan memenangi lebih daripada 18 kerusi Parlimen tanpa bantuannya.

Veteran DAP yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, tanpa pertolongan Dr. Mahathir DAP telah menang 24 kerusi pada tahun 1986, 20 kerusi pada tahun 1990, 28 kerusi pada tahun 2008, dan 38 kerusi pada tahun 2013 sebelum memenangi 42 kerusi pada tahun 2018

“Dalam wawancaranya bersama dengan China Press, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan: “Saya telah membantu pakatan pembangkan untuk menang (dalam PRU14) kerana saya membawa sokongan orang Melayu. DAP yang tidak pernah mampu memenangi lebih daripada 18 kerusi, memenangi 42 kerusi kerana sokongan orang Melayu yang di bawa oleh saya.

“Saya mengakui bahawa Mahathir telah sedikit sebanyak membantu kemenangan 42 kerusi Parlimen DAP dalam Pilihan Raya Umum 2018, tetapi untuk mengatakan yang DAP tidak akan berjaya memenangi lebih daripada 18 kerusi itu adalah salah sama sekali,” kata Kit Siang.

Menurut Kit Siang, DAP tidak pernah sama sekali menentang mana-mana kaum ataupun agama mahupun menentang sistem raja berpelembagaan di Malaysia.

Tegas beliau, walaupun DAP telah dimomokkan dengan pelbagai penipuan, fitnah, dan berita palsu, kononnya anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja selama lima dekad yang lepas namun parti itu kekal komited sejak penubuhannya pada tahun 1966 terhadap cita-cita sebuah masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya.

Katanya, DAP mahu setiap orang di Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban untuk mempunyai kesedaran, identiti, dan cita-cita sebagai rakyat Malaysia.

Untuk membuktikan bahawa DAP adalah parti untuk semua kaum, Kit Siang turut menyatakan beberapa nama orang Melayu yang telah diangkat menjadi wakil rakyat dalam parti itu.

“Dalam Pilihan Raya Umum 1969, dua orang pemimpin Melayu daripada DAP telah dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri dan sebelum Pilihan Raya Umum 1974, sekiranya DAP berjaya memenangi negeri Perak, ADUN DAP Tapah Road, Ibrahim Singgeh akan menjadi Menteri Besar Perak.

“Antara Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri adalah Ahmad Nor, Ariff Sabri Abdul Aziz, Zairil Khir Johari (Exco Pulau Pinang), Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (mantan Timbalan Menteri Air, Tanah, dan Sumber Asli), Ariffin Omar, Syerleena Binti Abdul Rashid, Abdul Aziz Bin Bari (Ketua Pembangkang Perak), Young Syefura Binti Othman, Sheikh Umar Bagharib Bin Ali (mantan Exco Johor), Edry Faizal Eddy Yusof, Jamaliah Jamaluddin, Mohd Asri, Fadzlan Yahya, Mohd Salleh Nakhoda Itam, Daeng Ibrahim, dan Hassan Ahmad,” kata Kit Siang.-SM

 

 

 

 

(Visited 245 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button