MahkamahNasional

Ketua Hakim Syarie mohon penghakiman ingkar RM30 juta terhadap Lokman Adam

KETUA Hakim Syarie, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar yang menyaman bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam atas kenyataan berunsur fitnah berhubung kes gangguan seksual, memfailkan permohonan penghakiman ingkar berjumlah RM30 juta, hari ini.

Permohonan fail itu dilakukan kerana Lokman gagal memfailkan pembelaannya walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melanjutkan tempoh akhir sehingga Jumaat lepas.

Dalam permohonannya, Na’im menuntut RM10 juta setiap satu bagi ganti rugi teladan, teruk dan punitif beserta faedah 5% sehingga jumlah penghakiman dibayar.

Permohonan yang difailkan adalah menerusi Tetuan Akberdin & Co di pejabat pendaftaran semalam dan peguam Na’im, Akberdin Abdul Kadir mengesahkan perkara itu kepada FMT.

Untuk rekod, penghakiman ingkar berlaku apabila defendan dalam kes perundangan gagal menjawab saman mahkamah atau tidak hadir di mahkamah.
Jika ini berlaku, mahkamah boleh membuat keputusan yang memihak kepada plaintif.

Pada 7 Februari lalu, Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff memerintahkan peguam Lokman memfailkan pembelaannya selewat-lewatnya pada 11 Februari lalu dan Na’im memfailkan jawapannya, jika perlu, selewat-lewatnya pada 25 Februari ini.

Hakim Rozana turut melanjutkan injunksi ex parte yang diperoleh Na’im terhadap Lokman untuk menyekatnya daripada membuat komen dan untuk menghapuskan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah tersebut.

Mengekalkan status quo, hakim juga menetapkan 22 Mac depan bagi perbicaraan inter parte berhubung injunksi berkenaan.

Pada 19 Januari lalu, Na’im memfailkan saman fitnah dan memohon injunksi interim terhadap Lokman yang mendakwanya terbabit dalam beberapa kes gangguan seksual termasuk kes di mana beliau dikatakan berbogel dalam bilik tidur rumah seorang wanita.

Na’im berkata, Lokman mengeluarkan kenyataan bersifat menghina terhadapnya di Facebook dan YouTube.

Katanya, kenyataan tersebut membayangkan beliau seorang “oportunis rohani”, gagal menjadi pemimpin yang berwibawa atau menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej baik Jabatan Kehakiman Syariah.

Na’im membuat laporan polis pada 12 Januari untuk menafikan dakwaan wanita itu, yang dikatakan seorang “Datin” dan terhadap Lokman atas penyiaran videonya. – SM

 

(Visited 280 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button