Belang Bertempat

Mahathir `lejen’ diangkat DAP PM ke-9, Anwar `blah’ dari PH?

SEMUA maklum betapa pemimpin-pemimpin kanan DAP tetap mahukan Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat sebagai Perdana Menteri (PM) ke-9.

Mac lalu, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng sendiri, menurut Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, telah menawarkan diri untuk melepaskan jawatan sebagai menteri kewangan asalkan Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri.

Perkara itu dinyatakan Guan Eng ketika rundingan agar Dr Mahathir dicalonkan semula sebagai perdana menteri bagi undian kali kedua tempoh hari untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bahkan, kata Khalid, pemimpin DAP itu juga bersedia mengurangkan jumlah menteri DAP dalam kabinet baharu.

Kelmarin, perkembangan mutakhir menunjukkan DAP jelas berkehendakkan Dr. Mahathir dinamakan sekali lagi dinamakan sebagai PM ke-9.

Sehinggakan parti itu melahirkan rasa hairan dengan kenyataan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam yang memilih Datuk Seri Anwar sebagai calon PM atas alasan “walaupun cadangan itu gagal mendapat sokongan majoriti”.

Ini kerana “Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang dipengerusikan Anwar pada 30 Mei lalu hanya sokongan dari 96 Ahli Parlimen dalam tempoh masa yang dipersetujui.”

Kenyataan bersama dikeluarkan oleh Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Fook dan Khalid Samad itu menyebut, sejumlah 38 ahli Parlimen PKR, DAP (42) Amanah (11) dan lima ahli PPBM termasuk Dr Mahathir bersama dengan Anwar.

Belang merasakan rakyat Malaysia pastinya mahu noktah penamat kepada hubungan yang dimomokkan sebagai `tidak menentu’ antara bos dan orang kanannya – Dr. Mahathir dan Anwar.

LIM KIT SIANG, DR. MAHATHIR MOHAMAD dan ANWAR IBRAHIM

JANJI ‘DICAPATI’

Ini masanya untuk Anwar membuat keputusan sama ada beliau perlu mencari rakan di luar PH untuk merealisasikan impiannya sekian lama untuk menjadi PM.

Lagipun sudah acap kali Dr. Mahathir berjanji bahawa “beliau tidak akan berganjak daripada keputusannya untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR itu selepas tempoh dua tahun mentadbir negara.”

“Saya berjanji akan meletak jawatan. Saya akan pegang janji saya. Adakah anda ingat sebarang perkara yang saya tidak menepati janji saya. Saya satu-satunya ‘diktator’ yang meletakkan jawatan,” kata Dr. Mahathir dalam satu sidang akhbar di Putrajaya yang masih tergiang-giang di kepala Belang.

Pendirian Dr. Mahathir itu susulan keputusan Bersatu bahagian Setiawangsa meluluskan usul sebulat suara agar beliau memegang jawatan nombor satu itu untuk penggal penuh selama lima tahun. Usul dicadangkan setiausaha politik Dr. Mahathir, Zahid Mohd Arip (tapi Zahid pun sudah pergi ke mana).

ISI DAN KUKU

Hakikatnya, kerjasama, pertentangan dan hubungan bos dan timbalannya itu berlangsung penuh suspens, epik.

Sebelum 1997, gandingan Dr. Mahathir dan Anwar adalah masing-masing selaku Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta Presiden dan Timbalan Presiden UMNO. Mereka tak ubah macam isi dengan kuku.

Memang benar, Dr. Mahathir senang dengan Anwar semenjak beliau memasuki UMNO lagi pada 1982. Bimbingannya untuk menjadikan Anwar sebagai pengganti terang lagi bersuluh kepada semua terutama buat Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Anwar selalu berada dalam Kabinet dalaman Mahathir.

Bagaimanapun pemecatan Anwar pada 1998 mengakibatkan titik mula orang Melayu berpecah-belah dengan terbahagi kepada kem-kem tertentu. Demonstrasi jalanan dan reformasi serta fitnah-memfitnah menjadi tular dari mulut ke mulut sebelum kritikal dengan kedatangan laman sosial.

Selepas 18 tahun berlalu, Dr. Mahathir akhirnya berjabat tangan dengan Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 5 September 2016. Permusuhan dinoktahkan.

“Beliau (Dr. Mahathir) sudah berubah dan komited terhadap agenda reformasi,” kata Anwar.

Gandingan Dr. Mahathir-Anwar serta parti-parti DAP, PKR, Bersatu dan Amanah dengan Dr. Mahathir selaku Pengerusi Bersatu menerusi strategi yang tersusun bersekali hembusan ‘tsunami rakyat’ akhirnya menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu.

DIBOOST DARI 1982-1997

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kemudian diangkat mengisi jawatan nombor dua kerajaan, Timbalan Perdana Menteri.

Sementara pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan yang turut dijanjikan sendiri oleh Dr. Mahathir tidak akan dibuat secara terburu-buru dan akan dijalankan mengikut perancangan asal – pada pertengahan penggal di bawah pemerintahan Pakatan Harapan.

Anwar tentu sekali menyedari sejarah kariernya dalam politik yang di ‘boost’ dari tahun 1982 hingga 1997 tidak lagi sama macam sekarang. Beliau yang muda baru berkeris masuk UMNO pada 1982 melalui loncatan tingkap, bukan menerusi pintu biasa.

Selama 16 tahun diasuh oleh pucuk pimpinan UMNO waktu itu, meloncat dari satu tahap ke tahap yang lain hingga sampai menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, tetapi ‘tersadung’ pada 1998, hanya selangkah ke pangkalan.

Belang fikir Anwar semestinya tidak boleh disalahkan sekiranya beliau melayani keinginannya menjadi Perdana Menteri kerana itulah persetujuan dalam rundingan asal kepemimpinan PH bersama Dr. Mahathir. Antaranya Dr. Mahathir akan memegang jawatan nombor satu itu sekurang-kurangnya dua tahun.

Dan Anwar sudah 11 tahun dalam penjara yang tentu sekali merasakan usianya tidak tertanggung lagi untuk melangkah ma­suk ke Putrajaya. Lagipun adalah logik Anwar yang kini Presiden PKR beranggapan begitu kerana PKR merupakan pemilik kerusi Parlimen terbanyak 50 kerusi, selain jentera PKR di bawahnya lebih cekap walaupun di sesetengah negeri, DAP mengatasi PKR.

LEBIH BERDIPLOMASI

Malah, Dr. Mahathir pun kelihatannya `lebih berdiplomasi’ daripada Dr. Mahathir yang Belang kenali, terutama di era 90-an. Meskipun masih berbisa, tahan lasak dan amat dihormati rakyat dan dunia, namun keseluruhan survival beliau masih banyak bergantung kepada Bersatu yang memiliki sejumlah bilangan kerusi yang kecil, 14.

Realiti hari ini, tiada pensyarah politik, walau bagaimana melangit sekalipun ilmu kajian sains politik yang dipelajarinya, yang upaya mencongak, meramalkan, waima mengajar ilmu politik sedalam dan seluas pengalaman yang telah dialami oleh seseorang pengamal politik. Pengalaman dalam hal ini guru yang paling berkesan. Apatah lagi buat Anwar.

PISANG BERBUAH TIGA KALI?

Anwar sebelum ini sudah dua kali mengungkapkan perkataan que sera sera – “apa yang terjadi, terjadilah”. Pendek kata, ‘Masa hadapan di luar kawalan”.

Menghayatinya membuatkan Belang mengingatkan diri sendiri akan keperluan menjalani hidup sebagai manusia yang bersahaja, manusia seutuhnya dan manusia yang baik. Yakni, tetap melangkah dan menerima apapun yang terjadi nanti.

Jangan dilupai nasib, jatuh bangun dalam politik adalah kehendak dan ketentuan-Nya jua.

Setelah DAP terus berkehendakkan Dr Mahahthir sebagai PM ke-9, barangkali inilah masanya Anwar memutuskan untuk blah (pergi atau keluar) dari PH.-SM

(Visited 595 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button