Nasional

Pelan Pemulihan Negara langkah terbaik keluar dari krisis Covid-19

STRATEGI Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohamad Yassin semalam adalah pendekatan terbaik ke arah membawa keluar negara daripada krisis pandemik COVID-19.

Setiap lapisan masyarakat diminta untuk berganding bahu dan memberi sokongan padu bagi menjayakan pelan yang menggariskan empat fasa pemulihan negara tersebut.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sokongan rakyat adalah penting demi memastikan kemenangan bersama dapat dicapai dalam membawa keluar negara daripada krisis pandemik Covid-19 yang telah melanda negara lebih daripada setahun.

“Melindungi nyawa dan memastikan kelangsungan hidup rakyat menjadi keutamaan Kerajaan dalam melaksanakan strategi ini, yang seperti ditegaskan Perdana Menteri, dirangka berdasarkan data dan sains serta indikator tertentu.

“Kita sendiri telah nampak tanda-tanda penurunan jangkitan sejak PKP 3.0 dilaksanakan, namun kita semua tidak harus sama sekali lalai, sebaliknya perlu terus mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” kata Fadillah.

Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak itu turut menyeru supaya setiap individu untuk mendaftar segera bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Fadillah berkata, dengan kadar vaksinasi telah mencecah 197,963 dos semalam dan akan dipertingkatkan hingga lebih 300,000 dos sehari membolehkan sasaran imuniti kelompok dicapai lebih cepat.

Malah peningkatan bekalan vaksin sebanyak 16 juta dos pada hujung Julai ini turut dilihat akan menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu dan memberi komitmen padu demi menjayakan Pelan Pemulihan Negara,” katanya.

Strategi Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan kerajaan semalam merangkumi empat fasa dan melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Perdana Menteri berkata, setiap fasa pelan pemulihan itu berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

Pelan itu dirangka selepas mendapati keputusan melaksanakan PKP secara menyeluruh sejak 1 Jun lalu menyebabkan negara kehilangan RM1 bilion setiap hari.

Ketika membentangkan Pelan Pemulihan Negara, Muhyiddin yakin Malaysia dapat keluar daripada kemelut ekonomi dan sosial yang dicipta daripada pandemik Covid-19.-SM

(Visited 145 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button