Jenayah

8 sekawan mandi di Teluk Batik, 1 ditemukan lemas, 1 hilang

KEGEMBIRAAN lapan lelaki bercuti di Pantai Teluk Batik, Lumut, Perak berakhir dengan tragedi sedih apabila salah seorang daripada mereka lemas manakala seorang lagi masih belum ditemui ketika mandi-manda di kawasan peranginan itu, petang tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Manjung, Abdul Hazhar Ismail berkata, mangsa, S. Emmanuel Raj, 21, ditemukan pada  pukul 6.55 petang manakala rakannya, R. Vigneis, 22, masih hilang.

Beliau berkata kepada BERNAMA, lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 6.10 petang.

Katanya, mayat mangsa ditemukan selepas dihanyutkan arus ombak ke tepi pantai di kawasan berhampiran.

“Mangsa diberikan bantuan awal pernafasan oleh pasukan perubatan sebelum disahkan meninggal dunia manakala rakannya masih hilang.

“Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) giat dijalankan dalam radius 50 meter dari pantai dan lokasi dia dikatakan hilang.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Hazhar berkata, difahamkan, kedua-dua rakan tersebut telah pergi ke kawasan peranginan terbabit bersama enam lagi rakan mereka untuk melakukan aktiviti bermandi-manda.

Sementara itu, rakan mangsa, S. Rishethirabalan, 22, berkata, dia bersama rakan-rakan tiba di Teluk Batik dari Ipoh pada pukul 2.30 petang.

“Ketika kejadian saya bersama lima rakan termasuk dua mangsa sedang mandi di pantai namun secara tiba-tiba ombak besar datang menarik kami.

“Saya hanya sempat menyelamatkan seorang rakan saja kerana sudah sesak nafas dan letih manakala yang lain dapat menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai. Cuma mereka berdua yang (kedua-dua mangsa) tidak dapat diselamatkan,” katanya. – SM

(Visited 1,025 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button