Nasional

MAHA 2022: Castle Of Fruits tawar 11,111 produk jualan kepada pengunjung

ADA 11,111 produk jualan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, florikultur dan input pertanian ditawarkan oleh Castle Of Fruits pada Pameran Pertanian Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 yang bermula semalam sehingga 14 Ogos bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Mohamad Mustahapa Awang berkata, Castle Of Fruits yang membawa tema Istana Kenangan Perak melibatkan 99 lot jualan dan penyertaan daripada 82 usahawan.

“Laman ini menawarkan kepelbagaian produk agromakanan secara terus kepada pengguna dan pada masa yang sama, FAMA turut melaksanakan aktiviti promosi buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan bagi meningkatkan penggunaan per kapita,” katanya.

Beliau berkata, untuk edisi tahun ini, Castle Of Fruits bakal mengetengahkan buah-buahan dari keluarga artocarpus seperti nangka, cempedak dan sukun sebagai Fruits of Events.

“Kami juga akan memperkenalkan nangka sebagai superfood di Malaysia kerana banyak khasiatnya dan pelbagai produk berasaskan nangka juga semakin banyak di pasartan seperti kerepek nangka menjadikan buah ini semakin mendapat permintaan di dalam dan luar negara.


“Orang ramai juga boleh mendapatkan pelbagai produk hiliran berasaskan nangka seperti tart nangka yang menggunakan resepi sejak 1916, nugget, kerepek dan burger nangka dan satu showcase pelbagai buah dari keluarga artocarpus juga akan diadakan,” jelasnya.

Mohamad Mustahapa turut berkata, nangka dan cempedak mendapat permintaan tinggi di pasaran susulan peningkatan jumlah pengeluarannya pada tahun 2020 iaitu sebanyak 60,093 metrik tan berbanding 59,174 metrik tan pada 2019.

Menurut beliau lagi, selain dari Castle Of Fruits, pada edisi tahun ini, FAMA turut menampilan Empayar Makanan, Agrotrade dan Food Truck Fiesta.

Empayar makanan yang bertemakan Makanan Keluarga Malaysia bakal menyajikan menu popular dari seluruh negara bertujuan mempromosikan kepelbagaian makanan dan minuman kepada pengunjung.

Sekaligus dapat meningkatkan permintaan terhadap hasil pertanian tempatan melalui perkembangan positif dalam industri kulinari negara.

Sebanyak 63 lot jualan makanan disediakan dan terdapat 679 menu makanan dijual.

Selain itu, Agrotrade akan berfungsi sebagai Pusat Sehenti kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana agromakanan tempatan untuk mendapatkan khidmat nasihat, rundingan, perkhidmaan dan bantuan daripada kerajaan bagi menceburi pidang pengeksportan. – SM

(Visited 46 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button