Bola SepakSukanUncategorized

Maguire digugurkan daripada skuad England

GARETH Southgate terpaksa menarik kembali keputusannya, selepas Harry Maguire dijatuhkan hukuman penjara yang ditangguhkan oleh Mahkamah Greece.

Pengurus England itu pada awalnya menamakan Maguire dalam skuad 24 pemain, meskipun kapten Manchester United tersebut berdepan dakwaan melakukan serangan, mengelak daripada ditahan dan cubaan rasuah.

Maguire kemudiannya didapati bersalah, semalam, dan dijatuhkan hukuman penjara selama 21 bulan dan 10 hari yang ditangguhkan dan Persatuan Bola Sepak (FA) England mengeluarkan kenyataan berhubung pengguguran pemain itu daripada skuad yang bakal berdepan Iceland dan Denmark.

Bos England Southgate berkata: “Berikutan perkembangan terbaru pada petang ini (semalam), saya mengesahkan Harry Maguire digugurkan daripada skuad England untuk perlawanan menentang Iceland dan Denmark.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya masih menunggu untuk menilai perkembangan terbaru itu.

“Setelah bercakap dengan Manchester United dan juga pemain, saya membuat keputusan ini untuk kebaikan semua pihak dan turut mengambil kira kesan yang akan diterima pasukan ketika membuat persediaan untuk perlawanan minggu depan.”

Pusingan-U yang dilakukan FA itu menyaksikan badan induk tersebut terpaksa membuat keputusan memalukan dan berdepan persoalan mengapa terlalu tergesa-gesa menamakan pemain berkenaan di dalam skuad sedangkan mereka sepatutnya menunggu terlebih dahulu.

Tindakan Southgate cuba mempertahankan Maguire hanya mampu bertahan seketika, apabila memuji pemain itu memiliki perwatakan hebat dan percaya terhadap apa yang diceritakan pemain pertahanannya itu dengan bintang United tersebut masih yakin mengemukakan rayuan bagi membersihkan namanya.

Maguire menegaskan, dia yang dikasari oleh lapan lelaki tidak memakai pakaian seragam, setelah mendakwa mereka menendangnya dan pasukan perundangan pemain itu turut memberitahu, mereka mempunyai bukti forensik bagi menyokong dakwaan tersebut.

Maguire menyangka dia telah dirompak selepas sekumpulan lelaki cuba menyuntik adik perempuannya dengan dadah sewaktu dia keluar bersantai pada sebelah malam di Mykonos.
Pemain itu turut menafikan bahawa dia ada berkata “adakah anda tahu siapa saya?”, sementara pasukan perundangannya menegaskan, mereka tidak diberi masa yang mencukupi untuk membuat persediaan setelah diberikan 50 helai kertas pertuduhan jenayah pada malam sebelum kes disebut di mahkamah.

Mereka yakin untuk mengemukakan rayuan terhadap hukuman tersebut dan membersihkan nama Maguire, manakala United difahamkan memberikan sokongan tidak berbelah bagi kepada pemain mereka dan tiada keputusan berhubung pelucutan jawatan kapten. – Mirror UK – SM

(Visited 221 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button