GajetRencah Hidup

MagicBook X15, harga yang sesuai untuk pelajar, pekerja WFH

BEKERJA di luar pejabat bukanlah sesuatu yang baharu buat masa sekarang apatah lagi ketika dunia dilanda pandemik Covid-19, hampir semua pekerja terpaksa bekerja di rumah.

Bila sudah terpaksa bekerja di rumah, sudah pasti mempunyai sebuah komputer riba adalah satu keperluan.

Baru-baru ini, kami berpeluang untuk menguji ssebuah komputer riba berjenama Honor MagicBook X15 selama dua minggu dan berikut adalah ulasan dan pendapat kami.

Pandang pertama

Untuk menjual sesebuah produk, perkara pertama yang perlu menjadi keutamaan adalah reka bentuk dan tema rekaan.

Ternyata, Honor MagicBook x 15 berjaya menarik mata dengan rekaan yang sangat minimalis dan premium.

Berat komputer riba ini adalah sebanyak 1.53 kilogram dan bagi kami, berat itu agak bersesuaian jika hendak dibandingkan dengan komputer riba yang lain.

Rekaannya juga agak nipis dan memudahkan pengguna untuk membawanya ke mana sahaja.

Touch pad komputer riba ini juga terasa begitu lancar ketika digunakan dan mampu memberi kepuasan daripada segi nilai kepada pengguna.

Namun, papan kekunci ini tidak disertakan dengan lampu (back light) sekaligus menyukarkan pengguna untuk menaip dalam suasana gelap.

Selain itu, posisi kamera komputer riba ini yang diletakkan di bahagian tengah papan kekunci juga agak janggal kerana posisi lensa yang mendongak dan tidak menghala terus kepada pengguna.

Namun, dua isu ini bukanlah sesuatu yang besar dan boleh diselesaikan dengan mudah oleh pengguna.

Paparan dan audio

Menggunakan skrin panel IPS dengan paparan 15.6 inci dan menyokong resolusi 1920 x 1080, mata yang melihat memang rasa puas dan selesa.

Malah, rekaan bingkai skrin yang halus di bahagian tepi dan atas menyerlahkan lagi saiz skrin yang besar.

Skrin ini juga adalah 100 peratu sRGB yang menghasilkan warna yang cantik dan terang.
Malah, kami tidak mempunyai sebarang masalah untuk melakukan suntingan gambar dan video yang ringkas dengan menggunakan komputer riba ini.

Selain itu, walaupun kedudukan pembesar suara komputer riba ini terletak di bahagian bawah, kami masih mampu mendengar bunyi yang dihasilkan dengan cukup baik.

Bateri dan penggunaan

Seperkara lagi yang kami uji adalah jangka hayat bateri komputer riba ini iaitu 42Wh.

Dalam masa empat jam dengan kapasiti bateri penuh, kami sempat menggunakan komputer riba ini untuk menghadiri sidang media secara maya, melakukan artikel dan suntingan video.

Selain itu, hendak mengecas komputer riba ini juga tidaklah begitu lama dan hanya mengambil masa selama satu jam sahaja untuk dicas penuh.

Pengaliran haba dan kipas pada komputer riba ini juga sangat baik. Komputer riba ini tidak berasa terlalu panas dan kipas juga tidak terlalu bising.

Beli atau tidak?

Untuk komputer riba ini, kami tidak melakukan sebarang ujian permainan video yang berat kerana tidak sesuai untuk diuji dan dibandingkan dengan komputer riba yang khusus bagi permainan video.

Hasil daripada kegunaan kerja harian dan beberapa elemen hiburan seperti permainan video yang tidak terlalu berat, menonton video dan menggunakan aplikasi media sosial.

Kami merasakan bahawa kemampuan komputer riba ini memang sesuai dengan harganya.

Untuk makluman, Honor MagicBook X 15 ditawarkan pada harga RM2,299 bagi pemproses Intel Core Generasi ke-10 i3 dan RM2,899 untuk Intel Core Generasi ke-10 i5.

Jadi, sama ada kami akan beli komputer riba ini atau tidak, jawapannya ialah ya!

Berikut adalah spesifikasi penuh dan galeri gambar Honor MagicBook X15.

[Spec Sheet] MagicBook X 15(Intel i5)

 

(Visited 112 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button