Politik

Mageran boleh dilaksanakan tanpa nasihat PM? Ini jawapannya

SEJAK Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan saranan pelaksanaan Mageran pada sidang akhbar maya semalam selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, semalam, ramai yang mulai hingar.

Ada yang mendakwa pelaksanaan darurat yang tamat pada Ogos depan tidak harus disambung sebaliknya dilaksanakan Mageran bagi menggantikan kerajaan menangani masalah pandemik, politik, ekonomi dan sosial yang dikatakan gagal dilaksanakan oleh kerajaan hari ini.

Ada juga yang memberi pandangan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh melaksanakan Mageran tanpa nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun bagi Tan Sri Annuar Musa kedua-dua pandangan itu adalah salah dan memberi hujah bahawa kerajaan yang ada hari ini tidak gagal dan telah banyak kejayaan dicapai dalam menangani krisis ketika kerajaan sendiri tidak stabil.

Kerajaan menjadi tidak stabil apabila terdapat pemimpin UMNO yang dituduh dan didapati bersalah di mahkamah mula menggerakkan usaha untuk menjatuhkan kerajaan yang ada hari ini.

Sedangkan kerajaan ini telah berjaya pada peringkat awalnya, tetapi kerana individu tertentu mengambil sikap konfrantasi dan mengatur gerakan tersebut menyebabkan kerajaan menjadi tidak stabil atau ibarat telur di hujung tanduk.

Lebih malang lagi kerajaan perlu menangani pandemik wabak maut Covid-19 yang telah menjejaskan ekonomi dan sosial.

Langkah yang tepat diambil adalah dengan melaksanakan darurat bagi mengelakkan kerajaan terus diganggu oleh ahli politik yang hanya mabukkan kuasa, dan sanggup menggadai nyawa rakyat untuk mencapai cita-cita politik.

Mereka mahukan kerajaan yang ada dibubarkan dan diadakan pilihan raya ketika wabak menggila dengan ribuan orang dijangkiti sehari dan hampir mencecah ratusan orang yang meninggal dunia.

Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab Muhyiddin perlu mengambil langkah tidak popular iaitu untuk menyelamatkan nyawa rakyat dan pada sama turut menangani permasalahan kehidupan mereka yang terjejas.

Inilah yang dikatakan gagal oleh sesetengah pihak tanpa mereka mengetahui hakikatnya.

Kerajaan terpaksa berjuang untuk mendapatkan vaksin kerana negara-negara maju yang tamak dan mementingkan diri sendiri tidak memberi peluang langsung kepada negara ketiga.

Vaksi yang dihasilkan oleh mereka telah dibolot tanpa belas ihsan kepada negara seperti Malaysia. Ada negara yang membeli sekitar 200 peratus daripada keperluan vaksin sebenar negaranya.

Bagaimanapun usaha keras berjaya mendapatkan vaksin untuk rakyat negara ini. Pada masa ini sehari kerajaan berjaya memberi vaksi lebih 150,000 orang dan jumlah itu akan ditingkatkan kepada 200,000 dalam masa terdekat.

Berbalik kepada Mageran yang dilaksanakan 1969 ia dilaksanakan selepas berlaku rusuhan kaum dan ketika itu negara baharu selesai mengadakan pilihan raya dan tidak sempat membentuk kerajaan.

Pada ketika ini negara memang mempunyai kerajaan dan memang mempunyai Perdana Menteri. Oleh itu Yang di-Pertuan Agong hanya boleh melaksanakan Mageran jika ia dicadangkan oleh Perdana Menteri.

Oleh itu cadangan Mageran tidak wajar dilaksanakan dan jika perlu dilakukan Yang di-Pertuan Agong hanya perlu melaksanakan Darurat 2.0, bagi membolehkan kerajaan meneruskan usaha menangani pandemik dan ekonomi dan seterusnya politik serta sosial.

(Visited 201 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button