Nasional

Manusia Machiavelli, Hamlet dalam politik kita?

ulama

CERDIK pandai selalu berkata, sejarah banyak mengajar manusia.

Tetapi manusia biasanya mengulangi perilaku sejarah seperti yang disebut dalam peribahasa Inggeris, “History repeats itself”.

Salahkah Machiavelli, pemikir politik Itali abad ke-16?

Mengikut Machiavelli, segalanya harus diperalat termasuk agama untuk menjayakan matlamat menghalalkan cara. Machiavelli mengambil contoh dari Numa Pompilius yang memimpin Rom dengan menjinakkan sebuah masyarakat yang ganas dengan cara yang harmoni.

Pompilius memakai agama sebagai ‘tunjang paling perlu bagi setiap masyarakat yang beradab’.

Namun kepada Machiavelli, dorongan pertamanya bukanlah agama. Tidak juga untuk mendekatkan diri kepada kebaikan, melainkan semata-mata dorongan politik. Nilai-nilai yang dianjurkan Tuhan katanya tidak penting.

Tidak hairanlah bila pengagum Machiavelli menyebutnya sebagai irrisor et atheos: “seorang ateis yang membawa satira dalam falsafahnya tentang kuasa.

Masihkah politik Malaysia hari ini menyaksikan saranan Machiavelli, dengan `insiden 1987, 1998, 2008, 2018 diulangi dalam 2020 ini?

Suatu ketika Mahatma Gandhi mengetengahkan tindak balas kepada Machiavelli yang ‘matlamat dan kaedah adalah perkara sama’.

Gandhi percaya jika seseorang itu menggunakan kaedah salah untuk mencapai matlamat, ia akan mencetuskan tindak balas salah. Jika guna kekerasan, maka kekerasan akan berulang.

Justeru konon Machiavelli adalah pencetus kepada `gagasan sains politik moden’ tidak boleh dipakai oleh umat manusia.

Begitupun Machiavelli tidak salah. Dia membongkar apa yang nyata dalam kehidupan politik bahawa keunggulan ditentukan tafsirannya oleh siapa di dunia ini menang atau ingin menang.

Cuma kita masih boleh menunjukkan Machiavelli tidaklah sempurna: Hidup di dunia tidak hanya bersandarkan kuasa semata-mata. Pengalaman menunjukkan kehidupan juga mempunyai momen yang unggul.

Walaupun bertunjangkan kuasa, harus diselitkan tanggungjawab untuk berlaku adil kepada orang lain iaitu rakyat agar tidak terjadi dek penangan `gajah sama gajah berlaga, pelanduk mati di tengah-tengah’.

SUARA MERDEKA turut melayari sejenak sandiwara tragis Hamlet, karya sasterawan Inggeris William Shakespeare. Kalau dikaitkan dengan politik (tanpa mengutip keseluruhan karya), ada satira di dalamnya yang sukar `membaca’ kehendak, cita-cita ahli politik.

Dalam ketidakupayaan Hamlet dengan dirinya yang diselubungi rasa bimbang, termanifestasi dalam sebuah monolog terkenal “to be, or not to be”.

Hamlet resah dalam keinginannya untuk membuat keputusan, antara bertindak atau tidak bertindak. Kerana masing-masing dari dua keputusan itu ada akibatnya tersendiri yang akan Hamlet terima.

Jika ia memilih untuk bertindak, ia sama saja bererti dia memilih untuk hidup (to be). Namun hidupnya akan diulit derita atas kelemahannya yang hanya pasrah dan menyerah kalah terhadap keadaan sedia ada.

Sebaliknya, jika ia memilih untuk tidak bertindak, itu bermakna mati (not to be) – mati yang dalam hal ini berkait dengan keberanian dan semangat untuk melawan keadaan yang ada.

Pemain politik – tepuk dada tanya selera. – SM

(Visited 223 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button