Ekonomi

Bursa Malaysia antara bursa berprestasi terbaik di rantau ini tahun lepas

BURSA Malaysia terus menjadi antara bursa yang mencatatkan prestasi terbaik di rantau ini dengan pertumbuhan 2.4 peratus pada 2020, kata Pengerusi Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata aliran keluar asing yang besar bernilai RM24.6 bilion pada 2020 telah diserap oleh pelabur runcit domestik dan institusi.

“Malah, kita menyaksikan dana asing membuat pelaburan RM18.3 bilion ke dalam pasaran bon kita,” katanya dalam program yang disiarkan Bernama TV menerusi saluran Astro 502 pada Selasa.

Program Forum Bursa Malaysia itu mengupas tajuk ‘Menang Bersama: Rebuilding Malaysia’s Economy Together’ oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dengan sesi soal jawab dimudah cara oleh Abdul Wahid.

Terdahulu dalam program itu, Tengku Zafrul berkata keyakinan pelabur terus dapat dilihat dalam pasaran modal dan kewangan Malaysia dengan menunjukkan prestasi menggalakkan walaupun situasi pada tahun lepas amat mencabar.

Beliau berkata ini termasuk dividen, dengan pelabur meraih pulangan keseluruhan 5.8 peratus.

Nilai dagangan harian purata turut mencecah angka tinggi iaitu RM4.2 bilion.

Penyertaan pelabur runcit juga mencatatkan peningkatan yang amat baik daripada suku atau 24.5 peratus pada 2019 kepada lebih satu pertiga atau 37.7 peratus pada 2020, katanya.

Tengku Zafrul berkata selain itu, pegangan saham asing dalam pasaran saham Malaysia kekal pada paras baik iaitu 21 peratus.

Pada masa sama, ringgit pula merupakan antara mata wang yang melakarkan prestasi amat baik di rantau ini dengan kenaikan 1.7 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat, katanya.

Beliau berkata prestasi tersebut sebahagiannya dipacu oleh peningkatan semula harga komoditi serta aliran masuk dana bukan pemastautin yang positif bernilai RM18.3 bilion ke dalam pasaran bon.

Secara keseluruhan, pegangan asing dalam pasaran bon Malaysia kekal stabil, merangkumi purata 22.8 peratus daripada hutang kerajaan domestik, berbanding dengan 22.4 peratus pada tahun sebelumnya. – BERNAMA

(Visited 138 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button