Nasional

LZS lantik Shopee sebagai ejen kutipan zakat

Lembaga Zakat Selangor (LZS) melantik platform e-dagang, Shopee sebagai ejen kutipan zakatnya bagi memudahkan bayaran zakat dilakukan oleh umat Islam di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop berkata melalui melalui aplikasi Shopee itu, umat Islam di Selangor kini boleh menunaikan zakat harta dan zakat fitrah tanpa had dan dilakukan pada bila-bila masa, mulai 18 Dis ini.

“Para pengguna hanya perlu memilih pembayaran zakat melalui ‘Deals, Top-ups & Bills’ dalam aplikasi Shopee dan ikuti langkah-langkah mudah yang diberikan.

“Pembayaran zakat boleh dilakukan melalui e-dompet ShopeePay, kad debit, perbankan atas talian dan pembayaran secara tunai di kaunter 7-Eleven,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Saipolyazan kempen membayar zakat melalui platform Shopee juga akan berlangsung mulai 22 Dis hingga 31 Dis depan, dengan 1,000 pembayar zakat terawal akan dipilih setiap hari untuk menerima 200 syiling Shopee, sepanjang tempoh kempen.

“Pelantikan Shopee yang merupakan platform e-dagang pertama seumpamanya bekerjasama dengan LZS, adalah tepat pada masanya.

“LZS sentiasa mempelbagaikan saluran bayaran bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat dengan selamat, lebih-lebih lagi dalam situasi norma baharu kini. Kerjasama ini dijangka akan dapat membantu ramai pengguna Shopee terutamanya dalam kalangan Muslim menunaikan zakat.” katanya.

Tambahnya, melalui aplikasi berkenaan umat Islam berkemampuan dan memenuhi syarat zakat, dapat sama-sama membantu kelangsungan hidup golongan asnaf di Selangor yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

— BERNAMA

(Visited 713 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button