Travel

Lumpur bebuak di Kampung Meritam, tarikan pelancong di Sarawak

MANDI lumpur mungkin terasa pelik dan tidak pernah dilakukan oleh sesetengah orang tetapi buat penduduk Kampung Meritam di Limbang, Sarawak, aktiviti tersebut menjadi tarikan pelancongan di kawasan mereka.

Lumpur bebuak yang keluar dari perut bumi di Kampung Meritam telah mencetuskan fenomena dan keunikan tersendiri sehingga kawasan tersebut menjadi tumpuan pelancongan dan berupaya menjana aktiviti ekonomi penduduk.

Lumpur yang licin, likat dan suam, kawah lumpur gunung gunung berapi yang dikenali sebagai ‘lumpur bebuak’ di kampung tersebut sememangnya sudah terkenal dalam kalangan masyarakat setempat sebagai ‘pusat perubatan semula jadi’ walaupun belum ada kajian saintifik dilakukan terhadap lumpur tersebut.

Menurut laporan Bernama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pendidikan dan Pembangunan Komuniti Majlis Daerah Limbang (MDL) berkata kewujudan ‘lumpur bebuak’ telah menyebabkan Kampung Meritam yang terletak kira-kira 40 km dari pusat bandar Limbang tidak sunyi daripada dikunjungi pelawat.

Katanya, Kampung Meritam telah menerima hampir 300 pelawat setiap hari sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

Tambahnya, pelawat datang hanya untuk menikmati ‘rawatan lumpur bebuak’ yang dikatakan boleh menjadi terapi untuk menenangkan minda, dapat mengubati penyakit kulit dan sesuai sebagai ‘masker’ untuk dilumur pada muka dan anggota badan.

“Ekoran sambutan menggalakkan ini, kita telah menganjurkan acara tahunan seperti Pesta Lumpur Bebuak yang diisi dengan pelbagai aktiviti dalam kawah lumpur seperti berendam, bermain bola tampar dan lain-lain.

“Bagi fasa endemik, kita sudah sedia untuk buka semula dan menerima kehadiran pelancong dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah Covid-19,” katanya.

Menurut Frederick, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya sebelum ini telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi menaik taraf fasiliti dan kemudahan untuk memberikan pengalaman percutian yang terbaik kepada setiap pengunjung yang datang ke Limbang.

Pada tahun depan, Daerah Limbang yang kaya dengan kepelbagaian, keunikan dan tarikan lokasi pelancongan dijangka bakal menjadi hab pelancongan baharu di Sarawak. -SM

 

(Visited 555 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button