HiburanLuar Negara

Lucinta Luna harap ditangkap kerana kes dadah dapat menebus dosa

PENYANYI Indonesia Lucinta Luna yang kontroversi status jantinanya, menyesali perbuatannya.

Lucinta telah ditangkap kerana penyalahgunaan dadah.

Artis transgender yang nama asalnya Muhamad Fatah mengucapkan terima kasih kepada polis kerana menangkapnya.

“Saya berterima kasih kepada polis yang melakukan penangkapan kepada saya,” kata Lucinta Luna kepada wartawan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Jakarta Barat, Khamis.

Detik.com melaporkan Lucinta Luna menyifatkan kes berkenaan sebagai penebus dosanya.

“Semoga dari sini saya dapat menebus dosa dan saya juga menyesali apa yang telah saya lakukan,” katanya.

“Saya secara peribadi, atas nama Ayluna Putri atau Lucinta Luna, saya mahu minta maaf kepada semua masyarakat Indonesia yang ada di sini,” kata Lucinta Luna.

Lucinta Luna yang ditahan Selasa lalu dipercayai terbabit penyalahgunaan dadah jenis ecstasy, juga telah disahkan sebagai perempuan oleh Mahkamah Jakarta Selatan setelah permohonan menukar jantina beliau diluluskan tahun lalu.

Perkara itu turut disahkan Ketua Perhubungan Awam Polis Metro Jaya, Yusri Yunus, hari ini.

“Lucinta Luna sudah diakui sebagai perempuan sejak Disember lalu,” katanya.

Selasa lalu, Lucinta, 30, yang pernah menghasilkan video muzik single Bobo Dimana bersama jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dan Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Sajat, ditahan selepas disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Lucinta ditahan di apartmennya di Thamrin City, Jakarta Pusat, pada pukul 1.30 pagi.

Lucinta ditahan bersama tiga lagi rakannya iaitu seorang wanita dan pasangan suami isteri. Polis menemukan beberapa pil ecstasy di apartmennya.

(Visited 686 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button