fbpx
Nasional

LTTE: permohonan jaminan ADUN Gadek & ahli DAP didengar 16 Jan

DUA Mahkamah Tinggi berasingan di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 16 Jan untuk mendengar permohonan jaminan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G. Saminathan dan ahli DAP, V. Suresh Kumar yang menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh dan Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh itu selepas peguam Ramkarpal Singh, mewakili kedua-dua tertuduh, memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan permohonan tersebut pada 26 Disember lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanudin Alias dan Rohaiza Abd Rahman memberitahu mahkamah pihaknya akan memfailkan afidavit balasan berhubung permohonan itu pada 9 dan 13 Jan ini.

Mahkamah Sesyen sebelum ini membenarkan kes kedua-dua tertuduh dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas pihak pendakwaan memaklumkan pihaknya telah mendapat keizinan daripada Jabatan Peguam Negara untuk memindahkan kes berkenaan.

Saminathan, 34, dan Suresh Kumar, 43, masing-masing didakwa atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi Facebook atas nama ‘Sami Nanthan Siva’ dan ‘RocketSuresh DAP’ di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, di sini, kira-kira jam 2 petang, 7 Okt lalu.


Mereka dituduh mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button