Nasional

LTTE: Permohonan ikat jamin ahli DAP Suresh Kumar ditolak

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan ikat jamin dikemukakan ahli DAP, V. Suresh Kumar, yang menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan tertuduh berumur  44 tahun itu atas alasan kesalahan membabitkan keganasan di bawah Seksyen 130J Kanun Keseksaan tidak boleh dijamin seperti ditetapkan di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Hakim Sequerah memutuskan ketetapan di bawah  SOSMA, yang tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh yang memohon ikat jamin sementara menunggu kes diputuskan, adalah berperlembagaan.

“Saya dengan penuh hormat membuat keputusan yang berbeza dengan Yang Arif (Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali) dalam kes Ahli Dewan Undangan Negeri Gadek G. Saminathan.

“Saya mendapati ketetapan dalam Seksyen 13  SOSMA, setakat ini adalah berkaitan dengan larangan mutlak ikat jamin diberikan kepada orang yang dituduh dengan kesalahan berkaitan keganasan, pertuduhan terhadap tertuduh adalah berperlembagaan. Oleh itu permohonan ditolak,” katanya.

Hakim itu juga berkata mahkamah tidak boleh dengan sewenang-wenangnya membuat keputusan berhubung kes berkaitan permohonan ikat jamin untuk tertuduh yang menghadapi pertuduhan membabitkan kesalahan keganasan.

“Ini kerana asas untuk melaksanakan kuasa itu tidak ada. Jadi tidak timbul persoalan untuk mengeluarkan kuasa kehakiman terlebih dahulu,” katanya.

Peguam  Harshaan Zamani mewakili tertuduh manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman.

Suresh Kumar mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE menggunakan Facebook di bawah nama ‘Rocketsuresh Dap’ di pejabat pegawai penyiasat  E8 (M) Bahagian Counter-Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman di sini pada  2 petang, 7 Okt 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan perampasan mana-mana harta yang digunakan atau berhasrat digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.- BERNAMA

Tags
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button
error: Isi kandungan ini di lindungi dari Copy & Paste !!
Close
Close