Nasional

LTAM mulakan penerbangan 12 Ogos ini

Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam, Melaka akan kembali beroperasi selepas sepi tanpa penerbangan komersial bermula 12 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, Batik Air yang sebelum ini dikenali dengan nama Malindo Air akan memulakan operasi penerbangan menggunakan pesawat ATR-72 dari Pekanbaru, Indonesia ke LTAM dengan jadual penerbangan dijangka tiga kali seminggu.

Beliau berkata, penerbangan Batik Air itu akan bermula dari Subang-Pulau Pinang-Melaka-Pekanbaru.

Selain Batik Air katanya, dua buah syarikat lain juga telah menyatakan minat untuk menggunakan LTAM untuk tujuan komersial.

“Syarikat Straits Connect (M) Sdn. Bhd. berhasrat menyediakan penerbangan sewas khas (charter flight) dari LTAM ke Jakarta, Indonesia dan jadual penerbangannya dijangka bermula pada pertengahan Ogos ini.


“Manakala syarikat World Asia Logistics (M) Sdn. Bhd. pula ingin menjadikan LTAM sebagai hab kargo utama di Malaysia dan perkara tersebut masih di peringkat perbincangan bersama Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB),” ujarnya dalam sidang akhbar di pejabat Tourism Melaka, Kota Cemerlang, Ayer Keroh di sini hari ini.

Muhammad Jailani berkata, pembukaan semula LTAM bagi penerbangan ke Pekanbaru secara tidak langsung dapat menarik semula lebih ramai pelancong kesihatan terutama daripada Provinsi Riau datang ke negeri ini yang satu-satunya laluan udara yang ada.

Menurutnya, bersempena dengan pengaktifan semula penerbangan Batik Air ke Pekanbaru dan Pulau Pinang ia secara tidak langsung akan merancakkan kembali industri pelancongan di negeri ini yang terkesan selama dua tahun akibat penularan Covid-19.

Beliau berkata, kerajaan negeri bercadang untuk mengadakan penerbangan charter ke Pekanbaru dalam tempoh terdekat dalam memastikan persiapan kedua-dua lapangan terbang di Pekanbaru dan LTAM berada pada tahap paling optimum.

Dalam pada itu beliau berkata, harga tiket penerbangan yang ditawarkan ialah bermula dari RM299 sehala dari Melaka-Pekanbaru manakala RM199 sehala bagi penerbangan Melaka–Pulau Pinang. Tiket penerbangan telah mula dijual menerusi laman sesawang www.malindoair.com. – SM

(Visited 56 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button