Nasional

Lega terima banyak tempahan baju raya

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 15 April – Sambutan Aidilfitri tahun ini paling bermakna buat seorang tukang jahit yang mula tidak
menang tangan menerima tempahan hingga terpaksa menolak banyak permintaanb di saat akhir walaupun ada yang merayu.

Bagi tukang jahit dari Kampung Paya Rumput Jaya, Tangga Batu dekat sini, Noor Baizura Ahmad, 32, kini
sedang bertungkus lumus menyiapkan pelbagai baju raya yang ditempah pelanggan hingga dia terpaksa menolak
banyak permintaan sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, setakat ini dia hanya menerima 200 tempahan semua jenis pakaian antaranya baju kurung, kebaya,
jubah, kuta dan baju Melayu setelah mendapat tempahan sejak awal Januari lalu.

“Dua tahun lalu sangat suram, saya tidak menerima banyak tempahan seperti lazim setiap kali sambutan
Aidilfitri kerana orang ramai tidak mahu membuat baju raya ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP) dan larangan rentas negeri.

“Tempoh dua tahun itu sangat memeritkan buat saya kerana menjahit baju adalah sumber pendapatan utama saya
untuk menyara ibu serta empat orang anak angkat yang saya jaga.

“Alhamdulillah, tahun ini rezeki saya kembali semula apabila menerima banyak tempahan dan dia terpaksa
menolak permintaan di saat-saat akhir bimbang baju tak dapat disiapkan menjelang Aidilfitri nanti,”
ujarnya ketika di sini semalam.

Noor Baizura berkata, setiap kali perayaan sebelum ini dia mampu meraih pendapatan antara RM5,000 hingga
RM6,000 apabila menerima antara 150 hingga 200 tempahan namun sewaktu penularan pandemik Covid-19 keadaan berubah mendadak.

Ibu tunggal itu yang menjahit di rumah selepas kedai milik ibunya di Sungai Udang hangus terbakar pada
2012 berkata, dia kini dibantu ibunya, Fatimah Md. Ali, 70, menggunakan dua mesin jahit bagi menyiapkan
tempahan pelanggan.

Dia yang mengikuti kursus jahitan di Giat Mara 2008 kini sedang bertungkus lumus bagi menyiapkan tempahan
baju raya ketika umat Islam akan menyambut Aidilfitri awal bulan depan.

“Saya sudah menutup semua tempahan sejak awal Mac lalu dan jika saya terima lagi tak mungkin saya dapat
siapkan baju yang ditempah mengikut masa ditetapkan.

“Pengalaman lalu cukup mengajar saya, lebihan tempahan dengan kudrat yang ada banyak baju raya tidak dapat
disiapkan hingga saya dimarah oleh pelanggan,” ujarnya.

 

(Visited 133 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button