Jenayah

Hasrat wanita 59 tahun jadi isteri ‘menteri’, terima RM1 juta tak kesampaian

Seorang guru tadika mendakwa kerugian RM4,200 selepas berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai “menteri” menerusi laman Facebook awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata, mangsa wanita berusia 59 tahun mendakwa ditawarkan wang tunai RM1 juta dan kereta mewah Rolls-Royce jika bersetuju menjadi isteri “menteri” berkenaan.

Beliau berkata, mangsa turut diminta untuk berurusan dengan seorang individu bernama “Siti” yang memperkenalkan dirinya sebagai pengurus bank sebelum diminta wang kononnya sebagai yuran pemprosesan sebagai isteri suspek.

“Mangsa seterusnya telah memasukkan wang sebanyak RM4,200 ke dalam nombor akaun milik seorang lelaki pada Jumaat lepas.

“Bagaimanapun, mangsa yang berasa ditipu dan tidak berpuas hati kerana suspek telah mempergunakan nama menteri untuk memperdayanya bertindak membuat laporan di Balai Polis Temerloh semalam,” katanya dalam kenyataan.

Polis kini sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.-BERNAMA

(Visited 173 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button