Hiburan

Liza Aziz takluk pentas GV11

MALAM penuh debaran Gegar Vaganza 11 (GV11) menyaksikan Liza Aziz dinobat sebagai juara, menewaskan lima finalis lain dalam persaingan sengit yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam tadi.

Penyanyi yang popular dengan lagu Bermula Cerita itu membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi kemenangan. Persembahan luar biasanya menerusi lagu I Surrender untuk segmen solo dan gandingan mantap bersama Krisdayanti dalam lagu Cinta membuktikan kemampuannya sebagai vokalis hebat.

Mengulas kejayaan tersebut, Liza meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokongnya.

“Akhirnya kini pasti, saya menang. Kepada yang suka dan tidak suka, saya hendak ucapkan terima kasih”, katanya.

Di tempat kedua, Ning Baizura membawa pulang RM50,000 dan trofi, diikuti Sheila Abdul di tempat ketiga. Tempat keempat dimenangi Dadali Dyrga, manakala Zehra Zambri dan The Lima masing-masing berada di tempat kelima dan keenam.

Acara finale yang dikendalikan oleh Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad ini turut diserikan dengan persembahan bertenaga daripada Datuk Jamal Abdillah, Krisdayanti, Pasha Ungu, Jaclyn Victor, Taufik Batisah dan kumpulan Dolla. Tiga juri tetap iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat diberi tanggungjawab menilai peserta pada malam tersebut.

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button