Bola SepakSukan

Liverpool dilanda krisis besar, Fabinho pula cedera

BOS Liverpool, Jurgen Klopp berdepan krisis pertahanan selepas bek tengah sementara, Fabinho terhincut-hincut berjalan keluar padang ekoran kecederaan hamstring sewaktu babak pertama permainan menentang Midtjylland dalam aksi Kumpulan D Liga Juara-Juara, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Sekalipun melakar kemenangan 2-0 ke atas kelab Denmark itu hasil jaringan Diogo Jota (minit ke-55) dan Mohamed Salah menerusi sepakan penalti (minit ke-93), Klopp tidak mampu tersenyum kerana krisis yang melanda skuad bimbingannya itu.

Bintang Brazil itu yang bermain selaku bek tengah di samping Joe Gomez berikutan musim Virgil van Dijk berakhir akibat kecederaan Anterior Cruciate Ligamen (ACL), ditimpa masalah hamstring selepas minit ke-27 sewaktu dia sedang berlari ke arah pintu gol sendiri.

Kebimbangan dalam kalangan pemain Liverpool yang berada di atas padang jelas kelihatan apabila melihat Fabinho berjalan terhincut-hincut dan digantikan pemain berusia 19 tahun, Rhys Williams.
Dengan Joel Matip masih belum cergas, hanya Gomez menjadi satu-satunya bek tengah senior yang Klopp miliki.

“Inilah perkara terakhir yang kami mahukan! Saya tidak tahu…apa yang jelas dia berasakan masalah hamstring dan ia tidak bagus.

“Dia tidak berasakan sangat kecederaan itu, cuma katanya, dia boleh teruskan permainan tetapi tidak boleh melakukan pecutan, yang mana ia tidak langsung membantu untuk posisi tersebut.

“Kami akan lihat, selepas imbasan dan kami akan mengetahui lebih lanjut, tetapi sudah tentu ia bukan sesuatu yang bagus,” kata pengurus Liverpool itu.

Ketika ditanya selepas perlawanan berakhir, berapa lama Fabinho dijangka diketepikan, Klopp hanya menjawab, dia sendiri tidak tahu mengenai perkara tersebut.

“Saya tidak tahu. Anda sendiri sedia maklum, kecederaan otot memang seperti ini, anda hanya akan dapat keputusan mungkin esok pagi. Jadi, kami terpaksa menunggu,” ujarnya.

Sementara itu, bercakap kepada BT Sport sewaktu rehat separuh masa pertama, bekas penyerang Liverpool, Peter Crouch mengakui, kecederaan itu merupakan tamparan besar kepada Klopp dan pasukannya.

“Yeah ini memang besar, Fabinho merupakan pengganti terbaik, kelihatannya seperti hamstring.

“Memang mengecewakan, ini satu tamparan besar buat Liverpool, anda hanya mampu berdoa masalah itu bukanlah kecederaan jangka panjang,” kata Crouch.

Bekas pemain tengah Liverpool, Adam Lallana, yang meninggalkan kelab pada musim panas untuk menyertai Brighton, pula menambah: “Masalah ini telah menjadi satu kebiasaan, apabila seorang bek tengah ditimpa kecederaan, maka akan ada seorang lagi berdepan isu serupa.

“Harap ia kecederaan kecil dan ini satu ujian buat pasukan dan saya rasa pemain muda (Williams) telah melaksanakan tugasnya dengan baik apabila di bawa masuk dari bangku simpanan.”

Kebimbangan terhadap kecederaan Fabinho adalah disebabkan kecederaan Van Dijk sewaktu Merseyside derby menentang Everton, selepas dia diterjah keras penjaga gol, Jordan Pickford.

Bintang antarabangsa Belanda itu memerlukan pembedahan lutut dan selepas Dejan Lovren dijual ke Zenit St Petersburg pada musim panas lalu, Klopp kini mendapati dirinya berdepan krisis di posisi bek tengah menjelang perlawanan menentang West Ham, Sabtu ini.

Dengan Matip bergelut masalah kecergasan yang menjadikannya diragui untuk aksi menentang West Ham di laman sendiri, Sabtu ini, menurut Klopp, pemain remaja, Rhys Williams, Nathaniel Phillips dan Billy Koumetio secara tiba-tiba menjadi pilihan untuk disenaraikan ke dalam skuad utama.

Mengulas lanjut mengenai pemain gantian, Williams, Klopp menambah, pemain itu beraksi dengan cukup baik.

“Satu-satunya masalah yang kami miliki sekarang ialah kami hanya ada empat hari sebelum perlawanan dengan West Ham dan anda akan membuat berita mengenainya pada setiap hari dan dia pula perlu membuktikan dirinya mampu berdepan krisis ini kerana anak muda ini memiliki persekitaran yang tenang di sekelilingnya.

“Kami hanya mempunyai pemain alternatif yang sangat muda dan tidak berpengalaman, pada ketika ini, kelihatannya kami seperti terpaksa memilih salah seorang daripada mereka.

“Saya belum tahu lagi, tetapi apa yang jelas dan positif, Rhys tidak berada pada situasi yang menjadi masalah kepada kami malam ini (awal pagi waktu Malaysia), dia bermain dengan cukup baik,” jelas Klopp. – Daily Mail – SM

(Visited 73 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button