Nasional

Mengharapkan liputan yang lebih saksama

BEBERAPA hari lalu mahkamah telah bersidang bagi menyusun tarikh pengurusan kes yang membabitkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ini adalah buat pertama kali mahkamah bersidang sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengikut SOP ketat ditetapkan.

Jumlah peguam dikurangkan, begitu petugas media perlu mengikut SOP ditetapkan termasuk memberi maklumat diperlukan dan diperiksa tahap kesihatan sebelum memasuki bangunan mahkamah.

Ini adalah sesuatu yang belum pernah kita lalui dan ia terpaksa dilaksanakan bagi memutuskan rantai penularan wabak COVID-19.

Permulaan normal baharu ini juga setelah kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pemerintahan negara daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Mengimbau kembali liputan kes membabitkan Ahmad Zahid oleh media tempatan termasuk agensi berita dan media arus perdana sangat berat sebelah seolah-olah mahu menjatuhkan hukuman lebih awal kepada pemimpin UMNO itu sebagai bersalah sebelum mahkamah memutuskan.

Contohnya walaupun fakta yang dikemukan oleh pihak tertuduh bahawa Ahmad Zahid menggunakan duit dari Yayasan Akal Budi untuk aktiviti kebajikan, tetapi ia tidak disorot.

Antaranya transaksi tiga ceraian cek atau dirujuk sebagai “cheque butt”  berjumlah RM2 juta daripada Profound Radiance Sdn. Bhd., kepada pemegang amanah Yayasan Akalbudi, Lewis & Co bukan sebagai rasuah seperti mana yang didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Cheque butt” masing-masing berjumlah RM300,000, RM700,000 dan RM1 juta yang dikeluarkan oleh Profound Radiance Sdn. Bhd., bertujuan kebajikan dan dana politik Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang pada ketika itu, Ahmad Zahid.

Ini jelas ditulis di bahagian tujuan “cheque butt” perkataan CHARITY (kebajikan) dan  POLITICAL FUND (dana politik).

Tetapi media lebih berminat untuk menyiarkan berapa banyak kereta mewah yang dimiliki oleh tertuduh.

Sedangkan bukan sesuatu yang luar biasa bagi Ahmad Zahid kerana beliau memang seorang ahli perniagaan berjaya sejak awal lagi pembabitan di dalam politik.

Pada 90-an beliau pernah menjadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) dan ketika itu juga Ahmad Zahid aktif di dalam Pergerakan Pemuda UMNO.

Liputan yang terlampau berat sebelah ini menyebabkan ‘mahkamah netizen’ menjatuhkan hukuman sebagai bersalah.

Ini bermakna jika Ahmad Zahid dilepaskan daripada tuduhan yang boleh dikatakan lebih bersifat politik ini, beliau akan tetap didapati bersalah bagi mahkamah netizen.

Jika wartawan Suara Merdeka tidak hadir semasa perbicaraan kes berkenaan, liputan yang dibuat oleh media ketika itu kelihatan seolah-olah adil.

Tetapi apabila wartawan duduk seharian mengikuti perbicaraan memang jelas laporan berita telah diputar belit. Dan ini sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ini adalah kerana ia kes mahkamah, wartawan biasanya hanya melaporkan fakta. Bagaimanapun kali ini fakta dilaporkan separuh dan digaul dengan fakta yang kabur serta mengelirukan bagi membentuk persepsi terhadap tertuduh.

Lebih mengejut apabila kes mahkamah ditangguhkan pada pukul 12.30 tengah hari, tetapi beritanya disiarkan di portal-portal berita dan agensi berita pada pukul 7 malam.

Pada kebiasaannya laporan sepatutnya disiarkan dengan segera kerana di dalam dunia digital kepantasan adalah amat penting. Tetapi di dalam kes melibatkan ahli politik kepentingan itu diletak ketepi tetapi laporan seolah-olah telah dirancang sebelum diolah dan disiarkan.

Oleh itu dengan perubahan kerajaan hari ini diharapkan media akan membuat laporan yang lebih saksama, khusus media arus perdana dan bagi portal pro-pembangkang ia adalah sesuatu yang tidak akan berlaku.

Adunan mereka dijangka akan terus kekal iaitu mencari dan melaporkan aspek negatif pemimpin kerajaan.

Oleh itu masyarakat perlu bijak menilai supaya tidak terjebak di dalam permainan ini. – SM

 

(Visited 336 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button