
LIMA’25 Bukti Anak Watan Mampu Bersaing di Peringkat Global – PM Anwar
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan Majlis Pembukaan dan Opening Gambit Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) pagi ini yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi.
Majlis pembukaan diserikan dengan pertunjukan udara yang cukup memukau, sebelum Anwar turun padang melakukan sesi walkabout dan beramah mesra bersama para peserta pameran dari dalam dan luar negara.

Dalam lawatannya ke beberapa reruai pameran, beliau turut menyaksikan sesi menandatangani dan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan nama-nama besar dalam industri seperti Weststar Aviation, Mildef International Technologies (MILDEF) dan Lumut Naval Shipyard (LUNAS).
Bangga Dengan Anak Tempatan
Anwar juga meluangkan masa mendengar taklimat daripada Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), dan menyatakan rasa bangga melihat pencapaian jurutera muda tempatan yang kini menguasai pelbagai kepakaran seperti:
-
Teknologi aeronautikal dan avionik
-
Micro-satelit
-
Kecerdasan buatan (AI)
-
Simulasi penerbangan
-
Dan pelbagai lagi teknologi masa depan
Kerjasama TVET dan Peluang Belia
Beliau turut mengiktiraf kepentingan kerjasama antara industri dan sektor pendidikan teknikal (TVET) dalam melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan bersedia untuk menyokong industri teknologi negara.
“Meningkatkan penyertaan golongan belia dalam sektor aeroangkasa dan maritim akan terus menjadi fokus Kerajaan MADANI. Ia adalah langkah jangka panjang untuk sediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada anak-anak muda Malaysia,” jelas Anwar.
LIMA’25 menjadi platform penting dalam menonjolkan keupayaan negara dari segi teknologi pertahanan dan kerjasama strategik antara pemain industri. Pameran ini dijadual berlangsung sehingga 24 Mei 2025.