
LIMA’25 Bakal Diperluas, Anwar Mahu Lebih Banyak Syarikat Global Sertai
LANGKAWI – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar lokasi Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) diperbesarkan bagi menampung penyertaan lebih banyak syarikat antarabangsa menjelang edisi 2025.
Menurutnya, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan dalam taklimat bahawa lokasi sedia ada, meliputi Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan kawasan tarmac di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, kini terlalu sesak.
Anwar berkata sambutan terhadap LIMA sangat memberangsangkan, namun ada negara yang terpaksa ditolak penyertaannya kerana kekangan ruang. Justeru, perluasan fasiliti adalah penting agar lebih banyak pesawat dan teknologi canggih boleh dipamerkan pada masa akan datang.
Beliau turut menyatakan pelantikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Pengerusi Bersama Lembaga Pengarah LADA bertujuan melonjakkan pembangunan Langkawi termasuk menjadikan LIMA lebih gah sebagai acara pertunjukan udara dan maritim terbesar di rantau ini.
Sumber : Refleks!