Nasional

Lima pelajar MRSM direman tiga hari terlibat kes buli

Lima pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut direman tiga hari bagi membantu siasatan kes buli seorang pelajar di sekolah tersebut.

Memetik BERNAMA, perintah reman bermula hari ini hingga Ahad terhadap kesemua remaja berusia 15 hingga 17 itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Yuhanis Mohd Roslan di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu.

Kelima-lima pelajar itu ditahan reman bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dijalankan.

Ketua Polis Daerah Besut Supritendan Azamuddin Ahmad @ Abu dalam kenyataan semalam berkata seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua di MRSM Besut mendakwa menjadi mangsa buli beberapa pelajar senior di asrama, pada 11.30 malam Selasa lepas.

Beliau berkata berdasarkan laporan dibuat mangsa, dia diarahkan duduk dalam keadaan separa mencangkung dan diletakkan selipar di kepala selama 40 minit, ditumbuk di perut dan ditampar.

Kejadian tersebut menyebabkan mangsa sakit di perut dan rusuk kanan serta lebam di belakang badan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button