
Lima Pelajar Imtiaz IKT Raih Pingat Perak di Pertandingan WYIE 2025
KUALA LUMPUR – Lima pelajar Tingkatan Empat dari Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu (IKT) telah mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih pingat Perak dalam pertandingan World Young Inventors Exhibition (WYIE) 2025 di sini.
Lima pelajar berkenaan – Muhammad Adam Muzaffar Mowardi, Muhd Wafiq Mohd Nazri, Nukman Mohd Aiman, Aishah Qistina Azwa dan Nur Qaireen Insyirah Abdul Hakim terlibat dalam menghasilkan Imtiaz Dual Eco Water System (I-DEWS).
I-DEWS ialah sistem penapis air dan penjana tenaga yang cekap, direka untuk bangunan bertingkat tinggi. Ia menggunakan graviti dan turbin air dalaman untuk menjana elektrik. Sistem ini menggunakan AI bagi meningkatkan kecekapan dan penjimatan sumber dalam usaha memenuhi keperluan tenaga dan air dalam bangunan moden yang pesat membangun.
Pertandingan WYIE dianjurkan bersempena dengan pameran tahunan International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) yang berakhir pada hari Sabtu (31 Mei) selepas berlangsung selama dua hari, dengan menghimpunkan pencipta muda dari seluruh dunia untuk mempamerkan ciptaan mereka kepada pelabur dan pihak industri, sama ada dari dalam atau luar negara.

WYIE merupakan platform berprestij yang terbuka kepada semua pencipta muda berusia bawah 21 tahun dan dibahagikan kepada tiga kategori: rendah (bawah 12 tahun), menengah (13 hingga 17 tahun) dan tinggi (18 hingga 21 tahun). Semua penyertaan dinilai oleh panel juri antarabangsa yang berpengalaman dalam bidang inovasi dan teknologi.
Antara anugerah yang dipertandingkan ialah pingat emas, perak dan gangsa WYIE, Anugerah MYIE untuk tiga ciptaan terbaik dari Malaysia, Anugerah AYIE untuk tiga ciptaan terbaik dari Asia, serta Piala Kecemerlangan WYIE yang dianugerahkan kepada ciptaan terbaik keseluruhan.
Selain WYIE, penganjuran ITEX turut menampilkan pertandingan untuk pelbagai kategori lain termasuk institusi pengajian tinggi, institusi penyelidikan, syarikat korporat, syarikat pemula (startup), pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), peserta antarabangsa serta individu. Pemenang berpeluang meraih pingat ITEX (emas, perak, gangsa), anugerah khas, anugerah antarabangsa serta Anugerah Ciptaan Terbaik.
Sorotan utama ITEX adalah Anugerah Kecemerlangan Ciptaan Asia – anugerah paling berprestij yang diberikan kepada ciptaan terbaik di keseluruhan pameran.
Kejayaan lima pelajar dari Imtiaz IKT membuktikan keupayaan dan potensi luar biasa pelajar sekolah menengah dalam menghasilkan inovasi bertaraf dunia. Pencapaian mereka sekali gus mengharumkan nama negeri dan negara di pentas antarabangsa.
Para pelajar berkenaan juga akan mewakili IKT dalam pertandingan “2025 Japan Design, Idea and Invention Expo” di Jepun pada 2 hingga 8 Julai ini.
Pada tahun lalu, IKT telah memenangi 5 anugerah inovasi dalam pertandingan lnternational Summer Camp lnnovation Olympiad and Study Tour Workshop sewaktu di Indonesia.