NasionalNegeriPendidikan

UniMAP pelopori pendidikan secara fleksibel – Pemangku Raja Perlis

SALAH satu perubahan tingkah laku yang semakin dapat dilihat sekarang ialah berkaitan pendekatan generasi masa kini tentang pekerjaan dan pembelajaran, titah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, ini kerana kini terdapat di kalangan lepasan sekolah memilih untuk bekerja dahulu atas sebab-sebab tertentu, dan juga semakin ramai yang sudah berada di alam pekerjaan memilih untuk menyambung pengajian di bidang masing-masing.

Che Ashah Taha yang tinggal di Kampung Jelempok, Arau menerima zakat MAIPs yang berkenan disampaikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Titah Baginda, model pendidikan universiti seperti kebiasaan iaitu pelajar masuk ke universiti selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan sebaik tamat pengajian selepas tiga atau empat tahun akan masuk ke alam pekerjaan yang mungkin semakin kurang relevan berbanding dahulu.

“Jadi sebagai langkah proaktif, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan sentiasa mempelopori pendidikan secara fleksibel melalui Kerangka Pendidikan Anjal UniMAP (UniMAP Flexible Education Framework) yang mengambil kira perkembangan teknologi semasa dan evolusi kehidupan masyarakat,” titah Baginda.

Baginda bertitah, kerangka ini membolehkan pekerjaan dan pembelajaran formal bersilih ganti dalam tempoh dan laluan kerjaya seseorang, bukan bersifat linear, dan boleh dilaksanakan melalui pelbagai platform pada masa yang sesuai kepada pelajar.

Tuanku Syed Faizuddin Putra sempat singgah di sebuah kebun harumanis semasa Kayuhan MAIPs Peduli bersama Timbalan-Timbalan Komandan PALAPES Universiti Awam.

Baginda bertitah, kerangka ini akan membolehkan pelbagai segmen masyarakat, pada peringkat tempatan dan antarabangsa, mendapat akses kepada pengajian tinggi dan memastikan hasrat pembelajaran sepanjang hayat benar-benar dapat dilaksanakan.

“Apabila kerangka ini diterjemahkan kepada tindakan, terma seperti APEL, kursus modular, microcredentials, ODL dan sebagainya akan menjadi lebih biasa di UniMAP,” titah Baginda.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Canselor UniMAP selepas berkenan berangkat mengetuai program kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) baru-baru ini.

Turut serta dalam program tersebut ialah Timbalan-Timbalan Komandan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) Malaysia yang menghadiri Majlis PALAPES UA anjuran UniMAP pada kali ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga berkenan menyantuni dan menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada Che Amad Zaury, 56, Mahamud Ismail, 84 dan Che Ashah Taha, 89 yang masing-masing tinggal di Kampung Jelempok, Arau.

Mereka menerima RM700 setiap seorang daripada Baginda. – SM

BACA Pemangku Raja Perlis rasmi Hub Komuniti @ PTSFP UniMAP

(Visited 46 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button