
LIMA 2025: UniMAP meterai MoA dengan Boomslang Dynamics
LANGKAWI: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memeterai satu Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Boomslang Dynamics Sdn. Bhd. dalam satu majlis pertukaran dokumen bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025, yang berlangsung di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC).
UniMAP diwakili oleh Naib Canselornya, Datuk Prof Ts Dr Zaliman Sauli, manakala Boomslang Dynamics diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Aadil Ashreff Wadvalla dengan disaksikan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor.
Berangkat sama adalah anakanda-anakanda baginda berdua iaitu Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Hadir sama ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Azlinda Azman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Haslina Abdul Hamid.
Turut hadir Pengurus Besar Boomslang Dynamic Muhammad Riyaad Decorad, Pengarah Pusat Kerjasama Industri dan Kerajaan (CIGC) UniMAP Prof Madya Dr Mohd Najmuddin Mohd Hassan,dan Ketua Pusat Kecemerlangan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (COEUAS) Prof Dr Hazry Desa.
Kerjasama ini melibatkan pelaksanaan projek penyelidikan selama 18 bulan bertajuk “Optimization of Lightweight Sandwich Structures for Enhanced Strength and Durability in AWL 3 Boomslang UAV Fuselage and Wing Design”, dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM300,000 di bawah program Industry Matching Programme (IMaP).
Projek ini dijangka menyumbang kepada pembangunan teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV) tempatan dan menghasilkan Harta Intelek (IP), laporan teknikal serta video pendek sebagai bahan akademik dan komersial.
Kerjasama ini merupakan satu inisiatif strategik yang selari dengan aspirasi UniMAP untuk memperkukuh penglibatan dalam penyelidikan dan inovasi (R&D&I) bersama industri, sekaligus mempercepat pembangunan teknologi tempatan dalam sektor aeroangkasa.
GALERI