
LIMA 2025: UniMAP-Glide Marine tandangan MoU
LANGKAWI: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Glide Marine Sdn. Bhd. sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 yang berlangsung di Pavilion Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Mahsuri International Exhibition Centre, di Langkawi.
MoU ini ditandatangani oleh Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Ts Dr Zaliman Sauli dan Ketua Pegawai Operasi Glide Marine, Hasnizan Hassan, disaksikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor.
Berangkat sama adalah anakanda-anakanda baginda berdua iaitu Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Azlinda Azman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Datuk Haslina Abdul Hamid.
Turut hadir Pengarah Glide Marine Dato’ Muhazli Muhamad, Pengarah Pusat Kerjasama Industri dan Kerajaan (CIGC) UniMAP Prof Madya Dr Mohd Najmuddin Mohd Hassan, Pengarah Pusat Ko-Kurikulum UniMAP Prof Madya Ts Dr Nik Noriman Zulkepli dan Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Mekanikal (FKTM) Dr Abdullah Abdul Samat.
Melalui MoU itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pelbagai bidang termasuk Program Pembelajaran Berasaskan Industri (Work-based Learning), penempatan pelajar industri, penyelidikan bersama, serta penganjuran seminar dan persidangan.
MoU berkenaan berkuat kuasa serta-merta dan sah untuk tempoh lima (5) tahun dari tarikh ditandatangani.
Glide Marine Sdn. Bhd., yang ditubuhkan pada tahun 2018, mempunyai kepakaran dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) khususnya dalam industri marin dan minyak & gas, serta memiliki lokasi strategik di Semenyih, Lumut dan Kota Kinabalu.
Kerjasama ini dijangka memberi manfaat kepada pembangunan modal insan dan jaringan industri UniMAP dalam bidang teknikal dan kejuruteraan, sejajar dengan matlamat universiti untuk menjadi peneraju pendidikan teknikal bertaraf global.
FOTO