Bola SepakSukan

Cavani gemar cukur bulu biri-biri, menari ballet

BINTANG yang baru ditandatangani Manchester United, Edinson Cavani merupakan penjaring gol seperti Alan Shearer di atas padang. Namun, apabila dia tidak menjaringkan gol, pemain berusia 33 tahun itu amat mencintai bidang penternakan.

Bintang antarabangsa Uruguay itu, yang turut meminati tarian ballet, merupakan seorang penjaring yang prolifik sepanjang kariernya, termasuk meledakkan 200 gol dalam 301 penampilannya bersama Paris Saint-Germain (PSG).

Sewaktu musim Liga 1 berakhir lebih awal ekoran pandemik, Cavani pulang ke tanah airnya, Uruguay di mana dia banyak menghabiskan masa lapangnya di ladang.

Sebuah rakaman video yang tersebar di internet menunjukkan kemahiran pemain itu mencukur bulu biri-biri dan cukup jelas ia bukan kali pertama Cavani melakukan pekerjaan tersebut.

Malah, ia bukanlah satu kejutan sewaktu ditanya apakah yang akan dilakukannya, jika dia bukan seorang pemain bola sepak.

“Saya akan bekerja di ladang, menjadi petani,” kata Cavani.

Dalam persekitaran yang lebih elegan pula, Cavani turut mendedahkan dia minat menari dan pernah menunjukkan bakatnya sewaktu sesi latihan bersama Sekolah Kebangsaan Ballet Uruguay.

Cukup jelas menerusi rakaman video yang dimuat naik Cavani dalam media sosial, dia bukan berada di sana untuk sekadar melengkapkan bilangan peserta, apabila bintang handalan PSG itu mendapat tepukan daripada penari profesional ketika melakukan satu gerakan ballet, pirouette.

Cavani turut lengkap berpakaian seperti penari ballet dengan mengenakan seluar ketat lycra dan menyanggul rambutnya yang panjang.

Pemain itu yang disahkan berpindah ke Old Trafford, semalam, meletakkan barang-barangnya di atas panggung setelah bersetuju untuk membintangi sebuah iklan bagi mendorong lebih ramai budak lelaki meminati balet dan membantu tanah airnya menemui bakat tersembunyi seperti Billy Elliots.

Berpacaran dengan seorang penari, Jocelyn Burgardt, bapa kepada tiga anak itu berkata: “Bola sepak dan tarian sebenarnya hampir serupa. Mungkin ramai yang tidak dapat membayangkannya.

“Kedua-duanya bermula dengan latihan, tetapi lama-kelamaan bidang tersebut boleh menjadi satu pekerjaan atau karier yang dapat berkembang dalam pelbagai cara.

“Kedua-duanya juga memerlukan anda bersikap profesional 100 peratus. Anda perlu berlatih, menjaga pemakanan, berehat dan mendengar pandangan daripada mereka yang lebih berpengalaman.”

Cavani, yang menjaringkan 40 gol untuk Uruguay dalam 98 perlawanan menyatakan persetujuan bagi menyokong kempen menarik lebih ramai budak lelaki menari selepas sekolah kebangsaan ballet di tanah airnya, Sodre menulis kepadanya memohon sokongan daripada pemain tersebut.

Naib Presiden Sodre, Adela Debra, berkata: “Sokongan Edinson amat penting untuk budak-budak lelaki yang terpaksa berdepan ejekan kerana mereka meminati tarian ballet.

“Sewaktu mereka berusia di sekitar sembilan tahun, ramai ibu bapa bertindak menarik keluar anak lelaki mereka daripada ballet kerana tekanan daripada keluarga dan kawan-kawan.”

Cavani diberi kontrak selama setahun di Old Trafford dengan pilihan untuk menyambung perjanjian itu setahun lagi.

Dia menyertai United hanya beberapa jam sebelum jendela perpindahan berakhir, setelah khidmatnya boleh didapati secara percuma pada musim panas, selepas tujuh tahun bersama PSG.

“Manchester United adalah salah sebuah kelab hebat di dunia, jadi, ia satu penghormatan dapat berada di sini. Saya telah bekerja keras sewaktu bercuti dan tidak sabar untuk bersaing dan mewakili kelab luar biasa ini.

“Saya pernah bermain di hadapan beberapa penyokong yang paling bersemangat dalam bola sepak sepanjang karier dan saya tahu ia sama di Manchester. Saya tidak sabar untuk merasai suasana itu Old Trafford, apabila keadaan selamat untuk para peminat kembali.

“Saya tidak sabar untuk terus menulis kisah saya di dalam buku bola sepak dan sebab itulah fokus saya harus tetap sama seperti biasa – bekerja, bekerja, bekerja. Saya ada berbual dengan pengurus dan ia meningkatkan keinginan saya untuk menyarung jersi yang cantik ini,” kata penyerang itu menerusi mesejnya yang disiarkan dalam laman web kelab.

Bagaimanapun, tidak jelas, sama ada Cavani akan berpindah ke United Kingdom bersendirian atau membawa sekali teman wanitanya, Jocelyn Burgardt dan anak perempuan mereka, India yang berusia setahun, Mei lalu.

Pemain itu juga memiliki dua orang anak lelaki, Bautista dan Lucas bersama bekas isteri dan kekasih sejak zaman kanak-kanaknya, Maria Soledad Cabris.

Pasangan itu berpisah pada 2014 selepas Cavani didakwa curang tidak lama selepas kelahiran Lucas.

Perkahwinan mereka musnah selepas gambar Cavani yang ketika itu bermain di Naples disiarkan media. Dia dirakam gambarnya sedang memeluk seorang wartawan muda Itali yang dikenali sebagai Maria Rosario Ventrone.

Pada ketika itu, kenyataan Maria Soledad yang dipetik pemberita Itali sebagai berkata:, “Edinson telah mengkhianati Tuhan yang selama ini dia berpegang teguh. Dia telah mengkhianati keluarganya.”

Penceraian pasangan tersebut mendapat liputan meluas oleh media Uruguay. Selepas perpisahannya dengan Maria Soledad, Cavani menegaskan: “Penceraian memang selalu sukar. Ia satu kegagalan. Tetapi saya hanya menceraikan isteri saya, bukan anak-anak saya.

“Saya sering percaya dan yakin kepada mereka. Saya selalu memenuhi tanggungjawab terhadap mereka dan akan memastikan keperluan mereka mencukupi pada masa sekarang dan di masa depan.”

Hubungan cinta Cavani dengan Ventrone tidak panjang dan wanita itu mengkritik penyerang tersebut dalam satu temubual

“Dia meninggalkan saya selepas sembilan bulan kami mula tinggal bersama. Dia seorang yang sangat cemburu, terlalu mengongkong dan saya masih tidak tahu mengapa kami putus,” kata Ventrone.

Penyerang itu kemudiannya telah menjalin hubungan dengan kekasihnya sekarang, selepas diperkenalkan oleh rakan sepasukannya dalam skuad Uruguay, Gaston Ramirez.

Jocelyn Burgardt kali pertama dikaitkan dengan Cavani pada 2014. Model dan penari itu secara tetap membintangi karnival tahunan yang berlangsung di Bella Union, sebuah bandar di wilayah Artigas di Uruguay. – The Sun UK – SM

(Visited 318 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button