Luar Negara

Tentera zionis Israel lancar serangan sengit ke atas Hospital Al-Shifa

Semua petugas di hospital diarahkan serah diri

TENTERA zionis Israel berkata, mereka akan menjalankan operasi terhadap Hamas di Hospital Al-Shifa di Semenanjung Gaza, hari ini dan menggesa semua anggota kumpulan di hospital itu menyerah diri.

Kurang sejam sebelum itu, jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza berkata, pihak Israel memaklumkan pegawai di kawasan itu bahawa mereka akan menyerbu kompleks hospital berkenaan “dalam beberapa minit lagi.”

Dalam kenyataannya, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) berkata: “Berdasarkan maklumat risikan dan keperluan operasi, pasukan IDF akan menjalankan operasi yang tepat dan bersasar terhadap Hamas di kawasan tertentu di Hospital Al-Shifa.

“IDF termasuk pasukan perubatan dan penutur bahasa Arab yang telah menjalani latihan khusus untuk mempersiapkan diri menghadapi persekitaran yang kompleks dan sensitive dengan tujuan supaya tiada bahaya ditimbulkan terhadap orang awam.”

Israel sebelum ini berkata, Hamas mempunyai pusat arahan yang terletak di bawah hospital terbesar di Gaza itu.

Tambahnya, Hamas turut menggunakan hospital serta terowong di bawahnya untuk menyembunyikan operasi ketenteraan dan menahan tebusan.

Bagaimanapun, dakwaan-dakwaan yang dilemparkan oleh pihak Israel ini dinafikan oleh Hamas.

Semalam, Amerika Syarikat berkata, perisikannya sendiri menyokong kesimpulan tersebut.

Lima minggu selepas Israel berikrar memusnahkan Hamas sebagai tindakan balas terhadap serangan rentas sempadan, nasib Al-Shifa menjadi tumpuan kebimbangan antarabangsa disebabkan keadaan hospital itu yang semakin teruk.

Kakitangan perubatan berkata, hospital itu hampir tidak dapat berfungsi disebabkan serangan Israel dan kekurangan bahan api untuk menghidupkan penjana kuasa.

Tentera zionis Israel melancarkan perang yang sengit terhadap pejuang Hamas sejak 10 hari lepas sebelum mara ke pusat bandar Gaza dan sekitar Al-Shifa. – SM

(Visited 79 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button