Luar Negara

Liberalisasi pasaran tenaga: Tarif elektrik Singapura turun hingga 22.5 peratus

RAKYAT negara jiran, Singapura menikmati diskaun pengurangan bil elektrik sehingga 22.5 peratus ditawarkan syarikat penyedia bekalan elektrik.

Harga itu adalah lebih rendah berbanding tarif asal apabila liberalisasi tenaga mula diperkenalkan pada 2018.

Ketika itu, kawasan Jurong menjadi peneraju dan penguji kaedah baharu liberalisasi pasaran tenaga melalui syarikat peruncit pada 1 April 2018.

Kemudian, pelaksanaan tersebut memberi impak yang baik dan akhirnya pada November 2018, kesemua isi rumah di Singapura menikmati tarif baharu penggunaan elektrik.

Rata-rata rakyatnya memberikan maklum balas yang sangat positif terhadap pelan peliberalisasian itu kerana merasakan ia amat menjimatkan.

Berdasarkan laporan portal Channel News Asia (CNA) pada beberapa individu yang ditemubualnya memberikan reaksi positif terhadap cara baharu penarifan bil elektrik mereka.

“Kami semua sangat berminat. Ia memang menjimatkan, jadi kenapa tidak?

“Syarikat saya bertukar kepada pembekal elektrik runcit dan bil bulanannya turun sehingga separuh berbanding asal.

“Jadi saya mahu pembekal elektrik rumah pula ditukarkan kepada syarikat runcit yang menawarkan harga lebih rendah.”

Demikian kata Wong yang tinggal dekat kawasan perumahan Choa Chu Kang yang terletak dalam zon pertama pelaksanaan pelan liberalisasi itu.

Selain itu, seorang lagi penduduk di sana, Jason Low memaklumkan, dia tertarik dengan tawaran tarif elektrik baharu yang ditawarkan syarikat runcit.

Tawaran itu dilapor diterimanya ketika syarikat runcit pembekal elektrik mengadakan jerayawara sekitar kawasan perumahannya.

“Selepas mendaftar dengan syarikat YTL PowerSeraya, bil bulanan saya turun mendadak sehingga lebih 40 Dolar Singapura (SGD).

“Jadi ia memang membantu saya dalam mengurangkan perbelanjaan isi rumah,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Nazri, 37 turut memberi reaksi sama apabila bil elektriknya menurun sehingga bawah SGD$100 sebulan.

“Terdapat banyak syarikat peruncit yang menawarkan pakej bekalan elektrik, justeru saya boleh membuat pilihan dengan teliti,” ujarnya.

Sejak 2018, Singapura mula melaksanakan pelan liberalisasi pasaran tenaga dalam usaha mengurangkan monopoli.

Sebelum ini, SP Group merupakan pembekal elektrik tunggal sebelum pasaran tenaga diliberalisasikan.

Menurut Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga (EMA), pelan peliberalisasian negara itu merupakan satu inisiatif untuk meningkatkan persaingan dalam pasaran tersebut.

Malah, melalui kaedah itu, tarif elektrik akan sentiasa berubah dalam tempoh tertentu berdasarkan harga minyak.

Justeru, ia memberi peluang kepada lebih ramai pembekal untuk membekal tenaga kepada isi rumah dengan membeli bekalan daripada SP Group pada harga yang rendah. – SM

(Visited 189 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button