Politik

LGBT tidak diiktiraf, jangan normalisasi budaya songsang

TINDAKAN segelintir pihak yang cuba menormalisasikan budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini atas alasan kebebasan individu tidak boleh diterima.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya berkata, usaha mempertikaikan papan tanda pencegahan homoseksual oleh Kerajaan Negeri Terengganu adalah tidak wajar dan mencerminkan sikap tidak menghormati nilai serta undang-undang negara.

“Apa yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Terengganu itu berdiri di atas paksi kebenaran yang wajar disokong. Ironinya, golongan pendukung LGBT terus menerus mempolemikkan isu ini dengan alasan yang tidak boleh diterima akal.

“Malaysia tidak pernah sesekali mengiktiraf budaya songsang LGBT. Bahkan, pelbagai hukuman di peringkat Persekutuan seperti Kanun Keseksaan serta enakmen jenayah syariah di peringkat Negeri dikuatkuasakan bagi mencegah penularan LGBT dalam masyarakat.

“Namun, satu sudut lain, bantahan yang dikemukakan oleh aktivis pro-LGBT mengenai papan tanda tersebut seolah-olah menggambarkan Malaysia ini sememangnya bebas mengamalkan aktiviti songsang tersebut,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, menyarankan agar pihak tertentu tidak sesekali berani membawa masuk agenda songsang tersebut ke dalam negara.

“Tambahan lagi, kempen kesedaran serta penguatkuasaan yang tegas amat wajar bagi membendung generasi hadapan daripada terjebak dengan aktiviti jenayah sebegini.

“Usahlah terlalu dambakan sebuah kebebasan yang boleh mendorong kita terbabas kelak,” katanya.

Terdahulu, aktivis transgender, Nisha Ayub, mengecam kewujudan papan tanda tersebut sekali gus menyifatkannya sebagai satu bentuk hasutan kebencian yang berbahaya dan contoh jelas diskriminasi institusi.

Nisha berkata, papan tanda seperti itu bukan sahaja menyemai kebencian terhadap golongan minoriti, malah secara tidak langsung menggalakkan perbuatan buli yang boleh membawa kepada keganasan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah, pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kebebasan menentukan bentuk penyampaian mesej yang sesuai mengikut kawasan masing-masing, selagi matlamatnya sejajar dengan dasar negeri.

“Apa yang kita laksanakan ini merupakan inisiatif PBT masing-masing. Di tempat lain mungkin menggunakan perkataan yang berlainan,” katanya

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button