Politik

Letih, sejuk dan pembangkang bising alasan MP kerajaan ‘ponteng’ Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Sejuk, malas nak dengar pembangkang bising dan letih antara sebab dan alasan yang diberikan Ahli Parlimen (MP) kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak hadir sesi perbahasan di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Sepang (Amanah), Mohamed Hanipa Maidin menjadikan kesejukan Dewan Rakyat sebagai penyebab tidak ramai wakil rakyat mampu duduk berjam-jam semasa persidangan berlangsung.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, sukar bagi Ahli Parlimen untuk berada dalam Dewan Rakyat secara berterusan kerana suhunya yang cukup rendah.

Katanya, adalah mustahil bagi wakil rakyat untuk terus menahan kesejukan itu dalam tempoh masa yang lama dan suasana sama juga sering berlaku di mana-mana Parlimen di negara lain.

“Bukan mudah untuk kami duduk dalam jangka masa yang lama. Ada ketikanya ia sangat sejuk. Di mana-mana sahaja di (Parlimen) negara lain, anda tidak boleh jangka Ahli Parlimen terus duduk dalam dewan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Sementara Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong pula mendakwa pembangkang kelakuan buruk di Parlimen menyebabkan Ahli Parlimen tidak mahu berada di dalam Dewan Rakyat.

“Ada masanya kita melihat bahawa ramai Ahli Parlimen dalam kalangan pembangkang tidak berdebat secara beretika. Mereka hanya menjerit dan membuat bising.

“Kadang-kadang, kita tidak dapat duduk di dalam kerana mereka hanya menimbulkan isu-isu yang tidak relevan kepada subjek (yang dibahaskan). Jadi ramai ahli parlimen pergi ke lounge untuk minum kopi,” katanya seperti yang dilaporkan The Star.

Ketua Whip Parti Keadilan Rakyat (PRK), Datuk Johari Abdul pula berkata, rutin harian yang sibuk, keluar awal dan pulang lewat hampir setiap hari menyebabkan Ahli Parlimen keletihan.

Menurutnya, wakil rakyat dari PH juga kadangkala terikat dengan program tertentu menyebabkan mereka tidak dapat hadir ke Dewan Rakyat.

“Lazimnya dalam sesi kali ini kita balik lewat. Selalunya sampai rumah jam 12 tengah malam dan tidur jam 1 pagi, kemudian bangun awal pagi, jadi keletihan.

“Juga ada banyak program kementerian dan agensi lain pada hujung tahun. Kita ada jadual, ada yang ikut, ada yang tak dapat ikut tapi kita akan pastikan korum mencukupi,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.-SM

 

(Visited 916 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button