Politik

Letak lebih banyak calon muda kalau BN nak menang PRU15

BARISAN Nasional (BN) perlu mengekalkan strategi dalam meraih kemenangan besar seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu dengan meletakkan lebih banyak calon muda pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Jelas meletakkan muka-muka calon muda banyak mempengaruhi faktor kemenangan dan itu juga adalah  satu strategi untuk menarik undi orang muda.

Begitulah yang dinyatakan oleh Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Pemuda), Muhamad Nur Aizat Noor Azam dalam sesi ramah mesra bersama media malam tadi.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Pemuda), Muhamad Nur Aizat Noor Azam beramah mesra dengan media malam tadi.

Beliau berkata, strategi tersebut memperlihatkan gabungan antara calon-calon muda dengan calon senior, memperoleh 40 daripada 56 kerusi yang ditandingi pada PRN Johor, tahun ini.

“BN tidak harus berkompromi dengan faktor penarik itu sebaliknya meneruskan momentum kemenangan di PRN Johor pada PRU15 ini dengan menggunakan strategi yang sama,” ujar Aizat Azam.


Tegas beliau, meletak calon politik muda pada PRU15 adalah Langkah efektif bagi menarik minat dan keyakinan para pengundi muda yang pertama kali bakal mengundi pada pilihan raya umum kali ini.

“Adalah penting untuk Barisan Nasional menimbang tara hasrat yang dicadangkan ini kerana golongan pengundi muda yang berusia 18 hingga 21 tahun, berasa lebih dekat dengan calon-calon muda yang bakal menjadi suara dan wakil mereka di masa hadapan berbanding calon politik yang lebih senior,” katanya.

Beliau berkata, selain itu golongan pengundi muda sekarang juga lebih bijak, peka dan mengambil berat mengenai manifesto yang diperjuangkan oleh calon-calon yang bertanding atau parti tertentu.

Oleh itu, Pemuda UMNO mempunyai rancangan yang jelas dan teratur untuk masa depan generasi
muda jika diberikan mandat oleh rakyat pada PRU15 ini bagi memperkasakan golongan muda.

“BN dan UMNO perlu menawarkan janji manifesto yang akan memberi kelebihan dan
keuntungan kepada orang muda dalam menarik minat mereka mempercayai Barisan Nasional.

“Sebab itu, rasionalnya meletak calon muda pengundi muda percaya akan membawa aspirasi golongan muda,” ujar beliau.

Tambah beliau, “Kita sedar manifesto merupakan satu janji dan pengundi muda pada hari ini sentiasa akan memikirkan tentang masa depan mereka untuk empat atau lima tahun akan datang.

“Mereka hendak tahu selepas PRU15 nanti, apakah jaminan masa depan dan kestabilan mereka bagi
meneruskan kehidupan dengan kos sara hidup yang tinggi dan peluang pekerjaan dengan gaji
yang wajar.”

Untuk rekod, tahun lalu, pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan telah diluluskan di mana usia layak mengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun serta pendaftaran pemilih secara automatic memberikan golongan umur itu hak untuk mengundi pada PRU15.

Pemilih berdaftar terkini yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Mei 2022 pada 16 Jun lalu melibatkan jumlah 21,113,234 orang.

Bagi penguatkuasaan had umur pemilih daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun pada 15
Disember 2021, ia menyaksikan pertambahan ketara pemilih seramai 5.8 juta orang yang mana
1.2 juta adalah terdiri daripada golongan anak muda berusia 18 hingga 21 tahun.

Langkah proaktif BN mengemukakan calon-calon muda dan tawaran baharu dilihat sebagai faktor penting bagi memastikan golongan pengundi muda dalam golongan undi 18-21 akan memilih komponen itu pada PRU ini.

Beliau berkata, golongan muda kini perlu diakui semakin bijak membuat penilaian terhadap apa
juga isu yang timbul kerana informasi berada di hujung jari mereka.

“Bagi memastikan BN mendapat sokongan daripada pengundi kali pertama, maka BN perlu
menampilkan manifesto baharu yang boleh menarik keyakinan orang muda.

“Calon yang hendak diketengahkan itu mesti kebanyakannya muka baharu, memenuhi cita rasa
orang muda dan semestinya tidak mempunyai sebarang masalah dengan kes rasuah mahu pun
jenayah atau spekulasi skandal.

“Antaranya adalah calon yang profesional dan amat bersesuaian untuk mengetengahkan isu
rakyat dan meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat dan pengundi,” katanya. – SM

(Visited 44 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button