Politik

Letak jawatan PM hanya formaliti – Tun M

Tun M dakwa telah hilang jawatan PM ketika Bersatu tinggalkan PH

TUN Dr. Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi menegaskan bahawa dia terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meninggalkan Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, tindakannya meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri hanyalah sebagai satu bentuk formaliti.

Ini kerana menurut Dr. Mahathir, apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia melangkah keluar daripada kerjasama dengan Pakatan Harapan, tindakan tersebut turut  memberi makna bahawa Kerajaan PH juga telah berakhir.

Dr. Mahathir juga berkata, tindakan Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan turut bermaksud semua anggota Kabinet Kerajaan PH telah kehilangan jawatan sebagai menteri.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, tindakan Bersatu itu juga bermaksud jawatannya sebagai perdana menteri turut hilang.

“Tegasnya ketika Bersatu meninggalkan PH, PH berhenti menjadi Kerajaan. Ini bermaksud semua anggota kabinet kehilangan jawatan menteri. Ini termasuk saya. Saya telah kehilangan jawatan sebagai Perdana Menteri. Meletak jawatan hanyalah formaliti,” kata Dr. Mahathir dalam satu hantaran terbaharu di Facebook.

Sebelum ini banyak pihak yang menyalahkan Dr. Mahathir berikutan robohnya Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan.

Banyak pihak mendakwa sekiranya Dr. Mahathir tidak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Pakatan Harapan masih mempunyai harapan untuk terus menjadi Kerajaan Persekutuan.

Dalam hantaran itu, Dr. Mahathir sekali lagi menegaskan dia enggan menjadi Perdana Menteri kepada Kerajaan yang dikuasai UMNO, PAS dan Bersatu.

“Ini kerana bermaksud saya akan bekerjasama dengan UMNO dan Najib, orang-orang yang telah saya kecam dan kalahkan pada PRU ke-14.

“Saya sebenarnya akan menghidupkan semula UMNO dan menjadikannya sebahagian daripada Kerajaan. Saya akan mengkhianati orang-orang yang menyokong saya dalam pilihan raya.

“Saya juga akan mengingkari janji saya kepada parti-parti lain dalam gabungan PH,” kata Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir berkata, beliau tidak dapat menerima cadangan bahawa dia harus menjadi perdana menteri dalam sebuah gabungan yang tidak suci.

“Oleh kerana Muhyiddin bersedia, saya melepaskan diri dari kumpulannya.

“Hari ini saya dilucutkan dari keahlian Bersatu dan Pengerusinya. Saya telah pergi ke mahkamah untuk mempertikaikan kesahihan pemecatan saya,” tulis Dr. Mahathir.-SM

(Visited 216 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button