Politik

Lepas Rafizi, Nik Nazmi Pula Letak Jawatan

GELOMBANG perubahan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan terus bergema apabila Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam — hanya dua jam selepas Rafizi Ramli melepaskan jawatan Menteri Ekonomi.

Kedua-dua pemimpin merupakan tokoh muda utama dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang gagal mempertahankan jawatan mereka dalam pemilihan parti baru-baru ini. Rafizi tewas bagi jawatan Timbalan Presiden, manakala Nik Nazmi gagal mengekalkan kerusi Naib Presiden yang disandang sejak 2022.

Dalam kenyataan rasmi, Nik Nazmi berkata beliau telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, berkuat kuasa 4 Julai 2025. Sepanjang tempoh berbaki ini, beliau akan menghabiskan cuti tahunan.

“Kedudukan saya sebagai Naib Presiden sebelum ini menjadi antara faktor pelantikan saya ke kabinet. Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut, saya membuat keputusan untuk melepaskan tanggungjawab ini,” katanya.

Sepanjang tempoh hampir dua tahun di dalam Kabinet, Nik Nazmi pernah mengetuai dua kementerian – mula-mula sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Disember 2022–Disember 2023), sebelum memimpin Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sehingga kini.

Antara pencapaiannya termasuk:

  • Pindaan Fasa 1 kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127),

  • Reformasi ketelusan dalam Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA),

  • Penyediaan Pelan Strategi dan Tindakan Biodiversiti Kebangsaan (NBSAP) yang diiktiraf PBB,

  • Pengurangan kadar penyahutanan yang signifikan,

  • Penyasaran semula subsidi elektrik melalui mekanisme ICPT,

  • Kelulusan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga di Dewan Rakyat,

  • Pengenalan Tariff Setting Mechanism dalam sektor air.

“Semua ini hanya boleh dicapai hasil kerja berpasukan. Saya berterima kasih kepada penjawat awam, pasukan kementerian, sektor swasta dan masyarakat sivil yang bersama menjayakan reformasi ini,” ujar beliau.

Nik Nazmi juga menzahirkan hasrat untuk kembali memberi tumpuan sepenuhnya sebagai Ahli Parlimen dan menyambung khidmatnya di kawasan Setiawangsa.

“Kami sentiasa cuba mengambil pendekatan terbuka dalam merangka dasar. Kini tiba masanya untuk saya kembali kepada rakyat dan fokus sebagai wakil mereka,” katanya, sambil memetik kata-kata Tony Benn:
“Saya meninggalkan Kabinet untuk memberikan lebih masa kepada politik dan khidmat awam.”

Peletakan jawatan Rafizi dan Nik Nazmi dalam selang waktu yang begitu dekat memberi isyarat besar tentang budaya akauntabiliti dalam PKR, namun pada masa yang sama turut menimbulkan persoalan mengenai kestabilan dalaman parti menjelang pilihan raya negeri dan umum akan datang.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button