
Lepas Lafaz Talak Dua ‘Live’, Siti Jamumall Kini Timbang Rujuk Semula
USAHAWAN dan pempengaruh terkenal, Siti Jamumall atau nama sebenarnya Siti Suriani Wahidin, tidak menolak kemungkinan untuk kembali rujuk dengan bekas suaminya, Aiman Tak Kesah meskipun pernah melalui episod perceraian yang mendapat perhatian ramai.
Dalam satu siaran langsung di TikTok baru-baru ini, Siti meluahkan bahawa dirinya masih menghargai segala kebaikan yang pernah dilakukan Aiman, walaupun konflik rumah tangga mereka pernah mencetuskan kontroversi di media sosial.
“Saya tak pernah lupa jasa dan kebaikan dia (Aiman). Kalau Allah izinkan, saya terbuka untuk rujuk semula. Tapi bukan untuk saya, ini semua demi anak-anak kami,” katanya dalam siaran langsung tersebut.
Siti bagaimanapun mengakui bahawa proses rujuk bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan persetujuan dan restu penuh daripada keluarganya, terutamanya bapanya.
“Abah saya sangat penting dalam keputusan ini. Saya tak nak buat apa-apa keputusan tergesa-gesa tanpa restu keluarga,” jelasnya.
Menariknya, Siti kini sedang hamil dan menjelaskan bahawa pertimbangannya untuk kembali bersama Aiman bukan bersifat peribadi semata-mata, sebaliknya demi masa depan anak-anak mereka.
Terdahulu, nama Siti Jamumall menjadi bualan netizen apabila kemelut rumah tangganya bersama Aiman disiarkan secara langsung di TikTok hingga berakhir dengan lafaz cerai talak dua. Insiden itu turut disaksikan lebih 20,000 penonton yang mengikuti sesi siaran langsung tersebut.
Pasangan tersebut sebelum ini pernah bercerai dan kembali rujuk, namun insiden terbaharu membawa kepada perceraian kali kedua.
Siti turut menyatakan bahawa jika tiada jodoh semula antara mereka, beliau tetap akan meneruskan kehidupannya dengan tenang sebagai ibu tunggal dan fokus terhadap perniagaan serta anak-anak.