Nasional

Kerjasama Keluarga Malaysia bantu kerajaan atasi krisis ekonomi – Ismail Sabri

KECEKAPAN pentadbiran negara membolehkan Malaysia mengatasi pelbagai cabaran dan ke arah pemulihan ekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Beliau berkata, negara telah melalui masa-masa yang sukar sejak akhir-akhir ini dengan pandemik Covid-19 dan kini krisis geopolitik global diikuti perubahan iklim yang memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan.

“Kerjasama yang ditunjukkan oleh ‘Keluarga Malaysia’ bersama pentadbiran negara yang berkesan telah membolehkan kerajaan mengatasi krisis dan terus memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi.

“Hari ini, ekonomi negara adalah yang terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua berbanding 5.0 peratus yang dicatatkan pada suku pertama.

“Kadar pengangguran pada Ogos tahun ini adalah 3.7 peratus lebih rendah berbanding Ogos tahun lalu yang mencatatkan 4.6 peratus, manakala Malaysia diletakkan di tempat ke-18 sebagai negara paling aman di dunia antara 163 negara di seluruh dunia dan kedua di Asia mengikut Indeks Keamanan Global 2022,” katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia atau Malaysian Family Aspiration Tour’ peringkat Negeri Pahang, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia juga diiktiraf sebagai negara ke-18 paling aman di dunia daripada 163 negara dan kedua di Asia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) 2022 yang mengukur kedamaian global di dunia.

Turut hadir Menteri Pertahanan Kanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Bagi mengurangkan beban kos sara hidup Keluarga Malaysia, Ismail Sabri berkata, kerajaan menyalurkan subsidi sebanyak RM77.7 bilion iaitu yang terbesar dalam sejarah negara.

“Daripada jumlah itu, subsidi untuk petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) sebanyak RM41.7 bilion, subsidi minyak masak paket satu kilogram dan minyak botol sebanyak RM3.0 bilion.

“Selain itu, subsidi bil elektrik sebanyak RM5.8 bilion, bantuan lain seperti tunai, pendidikan, pengangkutan dan pertanian sebanyak RM25.7 bilion dan kepenggunaan lain-lain sebanyak RM1.5 bilion,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.307 bilion untuk menaik taraf dan menyenggara jalan persekutuan di Pahang.- SM

(Visited 173 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button