Nasional

Lelaki tertekan tiada kerja ketika PKP kurung isteri, anak 

SEORANG lelaki dilaporkan mengurung dirinya bersama isteri dan dua orang anaknya di dalam rumah akibat tekanan perasaan yang dialaminya berikutan tiada pekerjaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lelaki itu bertindak mengunci pintu pagar, grill dan pintu hadapan dan belakang rumahnya yang terletak di Taman Nusa, Senawang, Negeri Sembilan sebelum bertindak mengurung dirinya bersama keluarga.

Sepasukan anggota bomba Balai Bomba Senawang berkejar ke tempat kejadian pada pukul 8.51 malam tadi sejurus selepas menerima aduan berkaitan kejadian berkenaan.

Pegawai Operasi Balai Bomba Senawang, Zainurin Sarip berkata, pihaknya terpaksa memotong kunci mangga dan mengumpil pintu rumah tersebut bagi menyelamatkan seorang isteri dan anak-anak lelaki tersebut.

“Kami mendapat laporan seorang lelaki bertindak mengunci pagar, grill dan pintu belakang rumahnya dari dalam kerana tertekan tidak mempunyai pekerjaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


“Kami pada mulanya cuba memujuk lelaki itu tetapi selepas lebih kurang 15 minit dan melihat dia tidak mahu beralah, kami mula mengumpil pintu pagar dan grill rumah berkenaan. Kami terpaksa memotong kunci mangga pintu rumah berkenaan disebabkan lelaki itu mendakwa tidak tahu di mana dia meletakkan kunci tersebut,” katanya.

Memetik laporan Utusan Malaysia, sebelum kejadian isteri lelaki berkenaan sempat mengadu kepada jirannya mengenai keadaan suaminya yang tertekan sebelum lelaki berkenaan bertindak drastik mengurung dirinya bersama anak-anaknya.

Malah abang kandung kepada lelaki berkenaan terpaksa datang dari Mambau, untuk memujuk lelaki berkenaan.

“Kami menyelamatkan wanita itu dan anak-anaknya yang berusia empat bulan dan lebih setahun. Mereka diantar ke rumah jiran terdekat. Kami dimaklumkan kesemuanya tidak makan sejak pagi.

“Tiada sebarang kecederaan yang berlaku ketika kejadian dan lelaki itu diserahkan kepada polis,” katanya. -SM

 

(Visited 93 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button