Ekonomi

Aktiviti ekonomi dijangka bertambah baik pada separuh kedua 2020

AKTIVITI ekonomi Malaysia dijangka meningkat perlahan-lahan pada separuh kedua tahun ini selepas langkah-langkah pembendungan penularan COVID-19 dilonggarkan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditarik balik, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata ia akan membolehkan aktiviti ekonomi disambung semula beransur-ansur di negara ini dan menjana permintaan yang lebih baik dalam sektor perkhidmatan.

“Pada separuh kedua 2020, langkah-langkah rangsangan akan meningkatkan pertumbuhan penggunaan dan kita menjangkakan penambahbaikan pertumbuhan global apabila semakin banyak negara akan membukakan semula ekonomi mereka.

“Kita bakal melihat perdagangan global terus bertambah baik dan kitaran teknologi kini berada dalam trend peningkatan, jadi ini adalah antara beberapa faktor yang akan memacu pertumbuhan pada separuh kedua 2020,” katanya pada sidang media maya bersempena dengan pengumuman keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama 2020, hari ini.

Nor Shamsiah berkata pertumbuhan dijangka bertambah baik pada separuh kedua 2020 apabila aktiviti ekonomi negara disambung semula di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 4 Mei-9 Jun, 2020.

“Pertumbuhan dijangkakan pesat pada 2021, terutamanya apabila rakan dagangan negara juga menyambung semula aktiviti ekonomi mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pandemik COVID-19 telah mempercepatkan keperluan teknologi berikutan keperluan penjarakan sosial dan menjangka sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta penjagaan kesihatan memainkan peranan penting dari segi pembaharuan struktur untuk mengurangkan kerentanan dalam negara.

“Ini kerana sektor E&E akan menyediakan peluang yang amat besar dalam bahagian seperti bekerja dari jarak jauh, pembelajaran maya, e-dagang, membeli belah dalam talian dan hiburan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata, bagi industri penjagaan kesihatan, pemain industri negara juga merupakan pengeluar utama barangan guna habis perubatan, seperti pengeluar peralatan perubatan berteknologi tinggi.

Terdahulu, hari ini, Nor Shamsiah berkata ekonomi Malaysia berkembang sederhana pada 0.7 peratus dalam suku pertama 2020, pertumbuhan paling perlahan sejak suku ketiga 2009  (-1.1 peratus) disebabkan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP.

Meskipun impak daripada COVID-19 dijangka teruk, beliau menjangkakan penguncupan akan lebih besar pada suku kedua 2020 berbanding 0.7 peratus pada suku pertama 2020.

“Apa yang kami pasti adalah suku kedua 2020 akan mencatatkan penurunan yang lebih besar sebelum sampai ke tahap terendahnya, dan meningkat semula ketika kita memasuki suku ketiga 2020,” katanya. – BERNAMA

(Visited 203 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button