NasionalPolitik

Orang Melayu rasa terancam, bukan mahu selamatkan Bossku

SUARAMERDEKA: Orang Melayu kini berasa sangat terancam dan tidak tahan dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sering mempertikai dan mengganggu kepentingan kaum itu yang menjadi majoriti penduduk di negara ini dan dipaksa untuk tunduk kepada kehendak penduduk minoriti atas dasar kepentingan rakyat negara ini keseluruhannya.

Sikap kerajaan PH yang dilihat lebih didominasi oleh DAP sentiasa menekan orang Melayu menyebabkan mereka berasa terancam dan kesal kerana memilih kerajaan ini untuk mentadbir Malaysia. Mereka tidak dapat bersabar lagi untuk menunggu hingga pilihan raya umum diadakan secepat-cepatnya tiga tahun lagi dan khuatir ketika itu mereka telah merempat di negara sendiri.

Kerana sikap majoriti pemimpin PH itulah orang Melayu kini kembali kepada para pemimpin UMNO dan Pas yang diharap akan menjadi pembela nasib mereka setiap hari dinafikan suara dan dipermainkan seperti orang yang tidak mempunyai maruah. Baru setahun memerintah pemimpin PH khususnya dari DAP ghairah menjarah, melanggar dan merobohkan segala apa yang telah menjadi hak istimewa orang Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan negara.

Sikap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahahtir Mohamad sendiri dapat dilihat bahawa beliau sangat tidak selesa dengan para pemimpin DAP yang langsung tidak mahu mendengar cakapnya. Setiap kali Dr. Mahathir bercakap tentang sesuatu isu, pemimpin DAP akan melakukan sebaliknya. Jadi tidak hairan apabila Dr. Mahathir sendiri hadir dan boleh dikatakan menjadi orang yang menggerakkan perhimpunan muafakat orang Melayu yang diadakan di Stadium Malawati baru-baru ini.

Terlebih awal daripada itu telah muncul nama Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang merupakan pemimpin UMNO yang lama mendiamkan diri. Pemimpin berkenaan dikatakan telah mengadakan siri rundingan dan disyaki untuk mengambil-alih kerajaan ini daripada PH dengan cara menggabungkan parti-parti Melayu termasuk Pas, UMNO, Bersatu dan sebahagian PKR untuk membentuk kerajaan baharu.

Gagasan ini bukan bertujuan untuk menyelamatkan Datuk Seri Najib Tun Razak atau Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kerana kelibat mereka memang tidak berada di dalam mana-mana perjumpaan yang diadakan. Dikatakan Dr. Mahathir bersedia mengetuai kumpulan berkenaan jika dua pemimpin berkenaan tidak berada di dalam barisan kepemimpinan yang baharu.

Apabila pemimpin DAP, Lim Kit Siang berkata tindakan itu adalah untuk menyelamat Najib yang akan berdepan dengan keputusan mahkamah pada 11 November ini ia merupakan satu tindakan terdesak untuk mengalihkan pandangan dan sokongan orang Melayu.

Nama Hishammuddin berada teratas di carta untuk menyelamatkan orang Melayu pada masa ini selepas pemimpin PH Datuk Seri Azmin Ali dikaitkan dengan satu video seks songsang walaupun tidak dibuktikan setakat ini tetapi telah menjejaskan reputasi beliau dan peluang untuk menjadi Perdana Menteri.

Kit Siang atau pemimpin PH boleh berusaha mengalihkan pandangan orang Melayu dengan pelbagai isu termasuk kereta terbang, tetapi tekad mereka semakin bulat kini dan ini tidak seharusnya dipandang mudah oleh kerajaan hari ini.

(Visited 381 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button