Nasionalpilihan

Royalti pasir di Melaka: SPRM sahkan terima laporan dibuat Lokman Adam

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima aduan rasuah yang dibuat oleh Presiden Laskar Siber Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam berhubung projek penambakan laut di Melaka.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, satu kertas siasatan berhubung isu berkenaan telah pun dibuka sebelum ini dan aduan yang dibuat Lokman akan dikepilkan dalam kertas siasatan tersebut.

“SPRM akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kes ini meliputi semua aspek yang dibangkitkan dalam aduan tersebut,” katanya.

Terdahulu, Lokman hadir ke Ibu pejabat SPRM di Putrjaya untuk membuat laporan berhubung dakwaan kononnya berlaku aktiviti rasuah membabitkan pemberian konsesi penambakan laut di Melaka.

Menurut Lokman Adam, pihaknya mendapat maklumat bahawa, ada individu menerima habuan bagi mempengaruhi Kerajaan Negeri Melaka untuk menganugerahkan projek penambakan laut itu.

“Siasatan kami mendapati, projek penambakan itu dianugerahkan kepada sebuah syarikat yang mana 70 peratus penguasaan sahamnya dimiliki warga asing.

“Syarikat itu didapati didaftarkan di Singapura pada 12 Jun lalu. Malah, lebih merisaukan syarikat itu turut memperoleh lesen pelabuhan daripada Kementerian Pengangkutan (MOT),” katanya.

Tambahnya, siasatan segera perlu dilakukan bagi memastikan nama baik UMNO diselamatkan sebelum individu itu dinamakan sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.

Sebelum ini, SPRM meminta pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan bekas ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan kemudian menyatakan kesediaan untuk bertemu pegawai SPRM berhubung pembolotan projek ekonomi dan menipu Kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir laut.

Mereka bersedia menyalurkan maklumat itu bagi membuktikan dakwaan mereka, ada pihak tertentu dipercayai terbabit dalam penyelewengan menambak laut di pantai negeri ini. -SM

 

(Visited 369 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button