Luar Negara

Lelaki kahwin semula bekas isteri yang tenat untuk menjaganya

SEORANG lelaki di wilayah Henan, China, bernama Chen Zhenfeng, 39, berkahwin semula dengan bekas isterinya yang sakit tenat untuk menjaganya.

Bekas isteri Chen yang berusia 35 tahun menderita uremia iaitu penyakit buah pinggang tahap akhir apabila buah pinggang berhenti menapis toksin daripada urin.

Kira-kira sembilan tahun lalu, Chen Zhenfeng yang ketika itu berusia 30 tahun bertemu dengan Xie Hongxia yang berusia 26 tahun.

Kedua-duanya berkenalan dan dalam masa beberapa bulan mereka berkahwin.

Namun perkahwinan mereka diuji apabila Xie keguguran dua kali menyebabkan rumah tangga mereka terkandas akibat tekanan.

Mereka memutuskan untuk bercerai pada tahun 2019 dan dalam tempoh dua tahun berikutnya, Chen banyak memikirkan tentang perkahwinan mereka lalu menghubungi bekas isterinya untuk bertanya khabar.

Ketika itulah Chen mengetahui bahawa Xie menghidap uremia, yang mendorongnya untuk melawat Xie di hospital.

Ketika di sana, Chen mengetahui bahawa Xie tidak berkahwin semula dan melihat wajahnya yang tidak bermaya, dia tidak dapat menahan diri lalu menawarkan diri untuk berkahwin semula.

Pada mulanya Xie menolak cadangan Chen kerana tidak mahu membebankannya dengan bil perubatan hospital.

Bagaimanapun, Chen menegaskan bahawa dia akan menjaganya dan terus menemaninya malah apabila penyakit Xie semakin parah menyebabkan penglihatannya juga terjejas.

“Walaupun awak tidak dapat melihat lagi, saya boleh menjadi mata awak.

“Jangan menangis, saya sanggup memberikan salah satu buah pinggang saya walaupun ia bermakna saya mungkin hidup kurang beberapa tahun dan awak boleh hidup lama,” katanya.

Xie kemudiannya tidak dapat menahan niat baik Chen, dan menerima lamarannya.

“Saya perlu bertanggungjawab dan saya akan menemani isteri saya sepanjang hayat saya,” ujarnya. – SM

(Visited 222 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button