Mahkamahpilihan

Lelaki dituduh tipu dokumen jual projek perumahan

Seorang bekas pemilik syarikat dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan menipu penjualan projek pembangunan perumahan di tiga lot tanah menggunakan dokumen tidak lengkap membabitkan kerugian RM350,000, sembilan tahun lalu.

Tertuduh, Esa Omar, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sejurus dibacakan jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan itu di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Dia didakwa memperdaya pemilik tanah, Mohamed Shamserudin Mohd Shariff, 57, (mangsa) dengan menawarkan penjualan dokumen ‘Power of Attorney’ (Surat Kuasa Wakil) dan ‘Joint Venture Agreeement’ (Perjanjian Usahasama) bagi Lot 242, 243 dan 248 Mukim BK Baru untuk projek pembangunan perumahan yang tidak lengkap.

Tindakan itu menyebabkan pembangunan projek perumahan tidak dapat dijalankan dan mendorong mangsa menyerahkan wang RM350,000 secara tunai dan melalui akaun bank atas nama Syarikat Ramuan Bina Sdn Bhd milik tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Melia Realty Sdn Bhd di Jalan TU 1, Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, di sini antara Jun 2014 hingga November 2014.

Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta sebat dan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya N Sivasangari menawarkan jaminan RM50,000 bagi membebaskan tertuduh sementara menunggu perbicaraan selesai berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Datuk Hanif Hassan bagaimanapun berhujah jumlah itu terlalu tinggi dan seperti menghukum sedangkan prinsip jaminan hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh pada tarikh sebutan kes akan datang.

“Pembelaan dengan rendah diri merayu jaminan rendah antara RM10,000 ke RM20,000 kerana tertuduh seorang bankrup dan bakal penjamin adalah anaknya yang bekerja di bank.

“Tertuduh seorang bankrup, justeru saya berpandangan syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa tidak perlu kerana dia tinggal di Melaka dan tiadak kemungkinan melarikan diri selain tidak boleh ke luar negara,” katanya.

Selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 27 Mac ini. – SM

(Visited 111 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button