Nasional

Aktiviti berasas komuniti diguna untuk memperkasakan agro pelancongan Selangor

Pelancongan agro dan pelancongan berasaskan komuniti merupakan antara fokus utama negeri Selangor bagi memperkasakan industri pelancongan untuk tahun 2023.

Dikendalikan oleh Sungai Panjang Agro Tourism Sdn Bhd (SPAT) dan dikelola oleh Persatuan Integrasi Komuniti Usahawan Muda (PIKOM), inisiatif ini tertumpu kepada peningkatan sosio-ekonomi penduduk setempat khusnya golongan belia dan wanita di Sungai Panjang dan kawasan sekitarnya.

Pelancong boleh merasai sendiri aktiviti berkonsepkan pelancongan berasaskan komuniti seperti lawatan ke kebun-kebun yang diusahakan oleh lebih 25 pengusaha ladang komersial (agro), di samping melawat kehijauan sawah padi dengan berbasikal dan menaiki trem atau dengan menggunakan ATV yang disediakan oleh pengusaha inap desa berdekatan.

selangor

Pelancongan Agro melalui aktiviti berkonsepkan pelancongan berasaskan komuniti bukan sahaja mampu memberikan pengalaman melancong yang menarik kepada para pelancong, malah berpotensi meningkatkan ekonomi penduduk setempat, seperti lawatan ke Industri Kecil Sederhana, di mana pelancong boleh mempelajari proses pembuatan kerepek, di samping merasai kehidupan masyarakat Jawa dan Banjar melalui makanan tradisi yang terdapat di kedai-kedai dan restoran yang tersedia di sekitar kawasan Sungai Panjang.

Keberhasilan pelancongan agro ini dapat dilihat dengan pengiktirafan Ladang Melon Selangor (MeloSel) yang pertama di Sungai Besar, Sabak Bernam oleh Tengku Permaisuri Norashikin binti Abdul Rahman.

Ladang Melon Selangor di Sungai Besar ini merupakan Ladang Melon Selangor yang pertama dikomersialkan dengan menggunakan kaedah pertanian pintar, di mana julung kalinya telah dibuka kepada orang awam pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad dalam satu  kenyataan berkata, sebagai agensi promosi pelancongan rasmi Negeri Selangor, Tourism Selangor amat menggalakkan penglibatan komuniti dan agensi-agensi dalam memperkasa pelancongan agro di negeri Selangor.

Sepanjang tahun 2022, Tourism Selangor telah bekerjasama dengan 21 Hos Komuniti Selangor dan 6 Pihak Berkuasa Tempatan bagi Program Hos Komuniti Setempat Selangor.

Pelancongan berasaskan komuniti dijangka mampu meningkatkan industri pelancongan di negeri Selangor dengan pembawakan konsep yang berbeza kepada para pelancong, bukan sahaja dari dalam negara malah luar negara juga.

Dengan penglibatan pelbagai agensi dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi pembangunan dan promosi pelancongan agro di negeri Selangor seperti Sungai Panjang Agro Tourism (SPAT), pelancongan agro melalui aktiviti berkonsepkan pelancongan berasaskan komuniti dijangka mampu dipacu bagi meningkatkan ekonomi negeri Selangor, khususnya bagi sektor pertanian, pertenakan, Industri Kecil Sederhana dan pelbagai lagi. Selain daripada Sungai Panjang Agro Tourism, terdapat juga Persatuan Kemajuan Pelancongan Sekinchan, Persatuan Kebajikan Rakyat Mukim Dengkil, Homestay Sungai Sireh di Kuala Selangor, Homestay Hj. Dorani dan Homestay Banghuris yang berpotensi membangunkan pelancongan agro di Negeri Selangor. – SM

(Visited 269 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button