Nasional

Lelaki cuba langgar polis elak ditahan rupanya khayal dadah

CUBA langgar polis dan beberapa kenderaan lain kerana berada di bawah pengaruh dadah.

Itu yang dilakukan oleh seorang lelaki dan wanita yang melarikan diri sejauh lima kilometer selepas diarahkan berhenti di Jalan Gurney, Kuala Lumpur, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Rajab Ahad Ismail berkata, suspek dikesan memandu dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 4.45 petang.

“Kita telah menahan kenderaan yang dipandu lelaki dan wanita berusia 26 dan 24 tahun sebelum suspek memandu dengan laju hingga ke arah Jalan Tun Razak.

“Ketika terperangkap di dalam kesesakan jalan raya, suspek cuba melanggar seorang daripada anggota polis hingga menyebabkan dia melepaskan satu das tembakan ke arah tayar belakang,” katanya.


Menurutnya, suspek kemudian tetap melarikan diri ke arah pusat bandar sebelum berjaya ditahan di hadapan Lot 10, Bukit Bintang.

Jelasnya, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek cuba melarikan diri daripada ditahan polis susulan berada dalam pengaruh dadah.

Jelas beliau, hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis syabu dan ganja.

“Pemeriksaan dalam kenderaan yang dinaiki mereka, kita menemui satu buku lima dan semakan lanjut mendapati suspek lelaki itu mempunyai 10 rekod lampau berkaitan dadah, pecah rumah dan curi.

“Kedua-dua suspek kini direman selama lima hari sehingga 29 Disember ini untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 akta yang sama, Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 bagi kesalahan memiliki buku lima besi.

Semalam, tular satu rakaman video di laman sosial yang memaparkan video anggota polis melemparkan helmet ke arah kereta suspek dalam cubaan untuk menahan suspek yang tidak memberikan kerjasama. -SM

(Visited 202 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button