Nasional

Lelaki cekal kayuh basikal secara solo tunai umrah di Makkah

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 24 April – Penularan wabak Covid-19 hampir-hampir menutup hasrat seorang lelaki dari Balik Papan,
Kalimantan Timur, Indonesia untuk merealisasikan impian menunaikan umrah ke Makkah dengan hanya mengayuh
basikal secara solo.

Namun hasratnya diteruskan selepas kerajaan Malaysia membuka pintu sempadan pada 1 April sekali gus
membolehkan Muhammad Fuad Syamsuddin, 54, memasuki Johor Bahru bagi meneruskan perjalanan ke Makkah.

Duda dua anak itu diduga apabila terkandas di Batam selama empat bulan akibat pintu sempadan Malaysia
ditutup sejak dua tahun lalu ekoran pandemik Covid-19.

Rakannya, yang pada mula mengikuti kayuhan itu dari kampung mereka di Balik Papan, mengambil keputusan
untuk pulang selepas Malaysia masih belum membuka pintu sempadan sewaktu mereka tiba di Batam pada
Disember tahun lalu.


Muhammad Fuad Syamsuddin bergaya dengan basikal Shimano Polygone berharga RM7,000.

Namun berkat kesabarannya menunggu selama empat bulan sebelum pintu sempadan Malaysia akhirnya dibuka
semula 1 April lalu.

Justeru ujarnya, dia mengambil keputusan meneruskan hasratnya ke Mekah secara solo walaupun terpaksa
menempuh laluan tersebut tanpa ditemani rakannya.

“Segala halangan yang mendatang itu tidak pernah memadamkan hasrat saya untuk menunaikan umrah dengan
mengayuh basikal.

“Sudah lama saya pendam hasrat ingin menunaikan umrah dengan berbasikal. Selepas segala kelengkapan
diuruskan saya mula mengayuh dari kampung halaman di Balik Papan menggunakan basikal biasa.

“Namun setibanya di Lampung, seorang individu telah menghadiahkan saya sebuah basikal berkuasa elektrik
jenis Shimano Polygone berharga RM7,000.

“Alhamdulillah perjalanan saya lebih mudah serta menjimatkan tenaga khususnya apabila melalui jalan rata
yang mampu bergerak sejauh 80 kilometer (km),” ujarnya ketika ditemui di sini semalam.

Dia yang tiba ke negeri ini petang semalam menginap sementara di Ar Rasyafat Islamic Centre di bawah
Majlis Ar Rasyafat Melaka secara percuma.

Malah dia turut menghadiri program moreh anjuran Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali
Mohamad di Hotel La Crista.

Muhammad Fuad berkata, dia sudah melalui jarak sejauh 2,800km dari Lampong dan dijangka sampai ke Makkah
dijadualkan pada September ini.

Sebelum ini, dia sudah melalui Surabaya, Madura, Jawa, Jakarta, Sumatera, Medan dan Batam sebelum menaiki
feri ke Stulang Laut sebelum meneruskan perjalanan.

Katanya, sepanjang Ramadan, dia tetap meneruskan kayuhan walaupun berpuasa dan tidak pernah meninggalkan
Rukun Islam ketiga itu setakat ini.

Menurutnya, sepanjang laluan dari Johor Bahru ke Melaka, dia berterima kasih kepada orang ramai serta
pihak masjid serta surau di Batu Pahat dan Muar yang membenarkannya untuk bermalam.

“Saya terharu kerana ada individu yang baik hati menghulurkan sumbangan ikhlas wang tunai, makanan dan
minuman.

“Orang Malaysia sangat murah hati dan ini menguatkan keazaman saya untuk terus berkayuh bagi mencapai
hasrat menunaikan umrah di Mekah,” ujarnya.

Dia akan meneruskan perjalanan hingga ke Bukit Kayu Hitam serta melalui Bangkok, Thailand; Yangon,
Myanmar; India, Pakistan, Kabul, Afghanistan, Iran sebelum menaiki feri ke Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan
dijadual tiba di Mekah pada September.

 

(Visited 489 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button