Nasional

Lelaki campak 3 anak, terjun dari MRR2 ada masalah mental

INSIDEN seorang lelaki yang dilaporkan mencampak tiga kanak-kanak sebelum terjun dari Lebuhraya Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Selasa lalu dipercayai mempunyai masalah mental.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, warga Myanmar berusia 38 tahun itu yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) dipercayai sering bercakap bersendirian sejak setahun lalu selepas sembuh daripada jangkitan Covid-19.

“Kita mengesan ibu kanak-kanak malang itu yang juga isteri kepada lelaki berkenaan malam tadi.

“Hasil siasatan terhadap isterinya, wanita berusia 28 tahun yang juga pemegang kad UNHCR itu memaklumkan suaminya pernah menyatakan hasrat untuk membunuh diri,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Beliau berkata, wanita itu hanya mendapat tahu mengenai kehilangan tiga anaknya sebaik pulang ke rumah pada pukul 10 malam, hari yang sama dengan kejadian.

“Ketika kejadian, wanita berkenaan yang bekerja sebagai pembantu restoran tiada di rumah. Sebaik sahaja pulang, dia mendapati kesemua anak dan suaminya tiada.

“Dia cuba menghubungi dan mencari suaminya tetapi gagal. Sehingga pukul 5 pagi sebelum kejadian, suaminya menjawab panggilan telefon tetapi dia mengatakan mahu bertemu tuhan dan masuk ke syurga sebelum mematikan panggilan,” katanya.

Kejadian itu berlaku kira-kira 3 kilometer (km) dari kawasan rumah keluarga terbabit.

Beh berkata, seorang kanak-kanak yang terselamat dalam kejadian itu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kecederaan serius di badan.

“Kanak-kanak berkenaan merupakan anak bongsu kepada pasangan itu. Dua anaknya merupakan pemegang kad UNHCR.

“Bagaimanapun, anak bongsu mereka masih dalam proses untuk mendapatkan dokumen berkenaan,” jelasnya.

Media sebelum ini melaporkan, lelaki terbabit mencampak dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan sebelum dirinya terjun dari MRR2.

Dia dan dua kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi kanak-kanak terbabit dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut. – SM

 

(Visited 270 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button