Jenayah

Lelaki Berwatakan Wanita Yang Sembunyikan Long Tiger Selama 11 Hari Kini Ditahan!

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki berperwatakan wanita berusia 47 tahun dijatuhkan hukuman penjara lima bulan selepas membuat pengakuan bersalah atas tuduhan melindungi seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Long Tiger’ Disember tahun lalu.

Tertuduh, Rusli Mat, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad, di Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Ahad.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah melindungi seorang lelaki bernama Abdul Hamim Abd Hamid, atau lebih dikenali sebagai Long Tiger di sebuah rumah bernombor 854A Kebun Tebu, Jalan Kuala Ketil, Kedah sekitar pukul jam 3.15 petang, 28 Disember lalu.

Rusli didakwa mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan juga denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azreem Mamat dan Zulfadzly Hassan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ruzanna Abdul Rahim.

Terdahulu, peguam kepada tertuduh memohon mahkamah untuk meringankan hukuman kerana kesalahan ini merupakan kesalahan pertama yang dilakukan Rusli selain dia tidak mempunyai rekod jenayah.

Majistret Nurul Ainna kemudiannya menetapkan hukuman penjara lima bulan terhadap tertuduh.

Mengikut fakta kes, Long Tiger yang melarikan diri dari Mahkamah Tangkak, Johor telah menghubungi tertuduh pada 18 Disember pada pukul 10 pagi bagi memaklumkan untuk menumpang di rumahnya sementara menunggu masa untuk lari ke Indonesia.

‘Long Tiger’ kemudiannya dipercayai datang ke rumah tertuduh pada jam 8.45 malam hari yang sama dan menumpang di rumah berkenaan selama 11 hari.

Tertuduh didakwa dengan rela hati memberi kebenaran kepada Long Tiger untuk bersembunyi daripada pihak polis.

Namun, pada 28 Disember, pukul 3 petang, sepasukan polis telah datang ke rumah berkenaan bagi menangkap ‘Long Tiger’ dan mendapati kedua-dua mereka berada di lokasi kejadian.

Pihak polis kemudiannya telah mengetuk pintu beberapa kali dan turut memperkenalkan diri namun tertuduh didakwa tidak membuka pintu rumah tersebut serta tidak memberi kerjasama.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan sengaja melindungi ‘Long Tiger’ dengan niat hendak mengelakkannya daripada ditangkap.

(Visited 409 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button